3 warga emas maut nahas dekat Segamat

3 warga emas maut nahas dekat Segamat

Kemalangan berhampiran Tenang Stesen itu melibatkan tiga kenderaan dengan 11 lain cedera.

Tiga wanita warga emas maut di lokasi kejadian dengan nahas turut mencederakan empat kanak-kanak. (Gambar JBPM)
SEGAMAT:
Tiga wanita warga emas maut, manakala 11 lain termasuk empat kanak-kanak cedera dalam nahas tiga kenderaan di KM167, Jalan Johor Bahru-Seremban, berhampiran Tenang Stesen, Labis, dekat sini, semalam.

Komander Operasi Bomba Labis, Zakaria Mohamad, berkata sebaik menerima panggilan pada 5.16 petang, seramai 18 anggota BBP Labis dan Bandar Baru Segamat dikejarkan ke lokasi.

Katanya, ia turut melibatkan dua jentera FRT dan dua jentera EMRS dan setibanya di tempat kejadian didapati terdapat kemalangan melibatkan tiga kenderaan iaitu Perodua Alza, Toyota Hilux, dan Honda Jazz.

“Tiga yang maut merupakan wanita dewasa, manakala tujuh yang lain terdiri daripada seorang lelaki dewasa, dua wanita dewasa, dua kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan cedera.

“Turut cedera dua lelaki yang menaiki Toyota Hilux dan seorang wanita dewasa serta seorang kanak-kanak perempuan yang menaiki Honda Jazz,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Zakaria, mangsa disahkan meninggal di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Bagi mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Daerah Segamat dan operasi ditamatkan pada jam 6.26 petang,” katanya.

Difahamkan, mangsa maut berusia lingkungan 60 dan 80an dan berasal dari Simpang Renggam, Kluang, dan Benut, Pontian.

Sementara itu, Ketua Polis Segamat Ahmad Zamry Marinsah, ketika dihubungi, berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan bagi mengetahui punca sebenar kemalangan.

“Kita sedang kenal pasti semua identiti mangsa dan punca kemalangan, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.