Wee pula diminta menghadap PAC

Wee pula diminta menghadap PAC

Bagaimanapun PAC tidak mendedahkan alasan Wee Ka Siong dipanggil kerana prosiding jawatankuasa itu tertakluk kepada Peraturan Mesyuarat 85.

Wee Ka Siong diminta menghadap PAC pada prosiding dijadualkan 21 Sept.
KUALA LUMPUR:
Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan memanggil Ahli Parlimen Ayer Hitam Wee Ka Siong pada prosiding keempat pengurusan pandemik Covid-19 minggu depan selepas nama presiden MCA itu disebut dalam prosiding sebelum ini.

Pengerusi PAC, Mas Ermieyati Samsudin, berkata turut dipanggil bagi prosiding berkenaan ialah bekas ketua setiausaha Kementerian Kesihatan (KKM), Dr Chen Chaw Min.

“Prosiding ini dijadualkan pada 21 Sept, Khamis depan.

“PAC memerlukan keterangan dan penjelasan daripada Wee Ka Siong memandangkan nama beliau disebut dalam prosiding sebelum ini dan untuk berlaku adil kepada beliau, PAC mahu mendengar penjelasannya,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat PAC di Parlimen.

Bagaimanapun, Mas Ermieyati yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah berkata pihaknya tidak dapat mendedahkan alasan Wee dipanggil kerana prosiding PAC tertakluk kepada Peraturan Mesyuarat 85.

Terdahulu PAC mengadakan prosiding ketiga yang mana Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan) KKM, Dr Norazman Ayob; Pengerusi Pharmaniaga, Izaddeen Daud, dan Pengerusi, Exco Pharmaniaga, Ahmad Shahredzuan Mohd Shariff memberikan keterangan.

Prosiding pertama PAC berhubung isu itu diadakan pada 15 Jun lalu manakala, prosiding kedua pada 22 Ogos lalu.

Beliau memaklumkan surat panggilan mesyuarat kepada saksi akan dikeluarkan hari ini dan semua yang berkenaan diminta hadir bagi membantu PAC melengkapkan siasatan terhadap isu tersebut.

Dalam pada itu, Mas Ermieyati memaklumkan Kementerian Pertahanan akan dipanggil untuk memberikan penjelasan pada 3 Okt mengenai kemajuan projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) bagi Jun 2023 hingga Ogos 2023.

Katanya, PAC sebelum ini bersetuju mendengar perkembangan projek LCS bagi setiap tiga bulan, dengan prosiding pertama membabitkan perkara berkenaan pada 10 Jun lalu.

Beliau juga memaklumkan prosiding baharu ke atas Tabung Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) akan dijalankan pada minggu kedua, mesyuarat ketiga Parlimen.

“Dimaklumkan bahawa PAC sebulat suara bersetuju untuk memulakan prosiding ke atas HRDF. Tajuk bagi prosiding ini akan ditentukan kemudian,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.