
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata Malaysia mempunyai potensi yang besar untuk turut terlibat dalam pembangunan kemudahan pelancaran angkasa lepas dan ia diharap mampu mewujudkan peluang ekonomi baharu.
“Jika menjadi realiti, kemudahan yang dibangunkan ini akan menjadi yang ke-16 di dunia dan meletakkan Malaysia menjadi sebagai negara kesembilan memiliki fasiliti tersebut.
“Keunikan geografi Malaysia yang terletak berhampiran garisan Khatulistiwa memberikan kelebihan kepada negara untuk membangunkan perkhidmatan fasiliti pelancar dengan kos operasi yang jauh lebih kompetitif,” katanya dalam satu kenyataan.
Chang berkata Mysa A sedang mengadakan sesi libat urus dengan beberapa pihak dan industri yang berminat untuk membangunkan kemudahan ini
Katanya, penglibatan kerajaan dalam industri ini boleh menyumbang kepada pembangunan ekonomi angkasa dengan nilai RM10 bilion menjelang 2030, di samping pertumbuhan 500 syarikat pemula teknologi, seterusnya mewujudkan 5,000 peluang pekerjaan.
Menurut Chang, kementerian merangka program pembangunan satelit penderiaan jauh menerusi strategi perkongsian awam dan swasta yang dijangka bermula pada tahun 2026.