
Teguran itu dibuat susulan beberapa Ahli Parlimen “bertikam lidah” dan bangun untuk membangkitkan Peraturan Mesyuarat berhubung perkara dibangkitkan Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) semasa sesi perbahasan usul Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
“Saya nak dengar, kalau yang berhormat nak juga jadi pasar borong, fakta tak dapat direkod dan penjelasan saya tak dapat dengar jadi saya minta kerjasama agar bertenang…janganlah kita ubah kuorum ini menjadi pasar ikan,” katanya.
Terdahulu ketika perbahasannya, Takiyuddin mempersoal penggunaan tiga helikopter oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada sebuah majlis di Sungai Besar, Selangor, yang didakwanya menggunakan peruntukan besar, sedangkan sebelum ini Anwar dikatakan menolak perbelanjaan baik pulih kediaman dan kereta untuk bantu golongan sasar.
Kenyataan Takiyuddin itu menyebabkan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) mencelah dan meminta penjelasan berhubung perkara itu, selain Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) membangkitkan Peraturan Mesyuarat 36 (6) mengenai seorang ahli dewan tidak boleh mengeluarkan sangkaan jahat ke atas ahli lain.
“Apa yang dikatakan (Ahli Parlimen) Kota Bharu adalah fitnah apabila nyatakan kerajaan belanja berpuluh ribu ringgit buat ‘helipad’ untuk perdana menteri, kena tanya fakta betul atau tidak…apa yang Kota Bharu kata semua daripada netizen, cybertrooper mereka, tidak boleh buat apa-apa tuduhan tidak berasas.
“Jangan ikut laporan daripada Facebook atau TikTok mereka, tetapi kita ini di dewan mulia, kita tak boleh bawa apa sahaja daripada netizen sebagai satu kebenaran, (kenyataan) itu bukan kebenaran,” katanya.
Turut bangun pada sesi itu ialah Ronald Kiandee (PN-Beluran) yang membangkitkan Peraturan Mesyuarat 37 (2) mengenai pengerusi mempunyai kuasa tidak membenarkan mana-mana ahli dewan minta penjelasan jika dipercayai mempunyai niat untuk mengacau ahli dewan yang sedang berucap.
“Kita ada Peraturan Mesyuarat yang jelas dan kes-kes macam ini semata-mata untuk mengganggu perbahasan yang sedang dibuat oleh Ahli Parlimen Kota Bharu,” katanya.
Bagaimanapun penjelasan Kiandee itu menyebabkan Lee Chuan How (PH-Ipoh Timur) bangkit mencelah dan menyifatkan kenyataan itu adalah sangkaan jahat.
Ramli kemudian membuat ketetapan supaya Ahli Parlimen tidak berpuas hati dengan kenyataan Takiyuddin mengemukakan usul supaya perkara itu boleh dinilai Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul untuk dibawa ke Parlimen.