Himpunan Aman Selamatkan Malaysia dianjur Sabtu ini

Himpunan Aman Selamatkan Malaysia dianjur Sabtu ini

Himpunan itu dijangka turut dihadiri oleh pimpinan utama parti politik dan NGO, menurut Sekretariat Gerakan Selamatkan Malaysia.

Himpunan Aman Selamatkan Malaysia dijadualkan bermula selepas solat Zohor di Masjid Kampung Baru, Kuala Lumpur, Sabtu ini.
PETALING JAYA:
Himpunan Aman Selamatkan Malaysia dijadualkan berlangsung pada Sabtu ini di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Himpunan itu dianjurkan oleh Sekretariat Gerakan Selamatkan Malaysia yang dibentuk menggabungkan parti politik, NGO dan individu “dalam usaha mengembalikan semula integriti dan maruah negara yang tercalar akibat pengguguran kes rasuah Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi”, menurut kenyataannya.

Sehubungan dengan itu, sekretariat itu mengajak orang ramai berhimpun bermula dengan solat Zohor di Masjid Kampung Baru, memakai baju putih dan membawa bendera Malaysia.

“Himpunan yang akan turut dihadiri oleh pimpinan utama parti politik dan NGO akan bermula sejurus selepas itu,” katanya.

Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur Allaudeen Abdul Majid dilaporkan berkata, pihaknya belum menerima sebarang permohonan berhubung penganjuran perhimpunan tersebut.

Katanya, mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012, permohonan permit perlu dibuat sekurang-kurangnya lima hari sebelum tarikh perhimpunan.

Sementara itu, mempertikaikan permohonan permit yang perlu dibuat, Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari di Dewan Rakyat Selasa lepas meminta kerajaan mempermudah urusan penganjuran perhimpunan tersebut.

Setakat ini, polis menerima enam laporan berhubung perkara itu dengan keterangan lima individu dirakam, termasuk Ahmad Fadhli dan Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.