AI tak ‘bunuh’ pekerjaan, kata Randstad

AI tak ‘bunuh’ pekerjaan, kata Randstad

Pengarah Randstad di Malaysia Fahad Naeem berkata syarikat dan pekerja perlu belajar serta menerima teknologi baharu.

Dalam Laporan Masa Depan Pekerjaan 2020, Forum Ekonomi Dunia menganggarkan teknologi AI akan menggantikan 85 juta pekerjaan. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Sebuah agensi pekerjaan tidak menganggap kecerdasan buatan (AI) akan mengakibatkan kehilangan kerja, sebaliknya menganggap perkembangan teknologi akan mewujudkan peluang pekerjaan baharu.

“Jika (dengan menggunakan AI) kita ‘membunuh’ 50,000 pekerjaan, ia turut mewujudkan 150,000 pekerjaan lain,” kata Pengarah Randstad di Malaysia, Fahad Naeem.

Dalam Laporan Masa Depan Pekerjaan 2020, Forum Ekonomi Dunia menganggarkan bahawa teknologi itu akan menggantikan 85 juta pekerjaan. Bagaimanapun, ia juga akan mewujudkan 97 juta kerja baharu dalam sektor didaya AI di 26 negara menjelang 2025.

“Tetapi jika syarikat tidak melabur ke arah meningkatkan diri sendiri, jika individu tidak belajar menggunakan teknologi berkenaan, maka akan wujudlah masalah di situ,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas laporan terbaru Penyelidikan Jenama Majikan Randstad yang mendapati pekerja Malaysia semakin bimbang hilang pekerjaan akibat penggunaan AI.

Laporan itu yang mengkaji lebih 160,000 pekerja di seluruh dunia, mendapati 37% responden di Malaysia bimbang hilang pekerjaan, iaitu peningkatan daripada 13% pada 2017.

Naeem berkata automasi bukanlah fenomena baharu, dan tidak terhad kepada sektor pembuatan atau pengilangan apabila pejabat-pejabat turut menggunakan alat AI seperti ChatGPT.

“Apa yang kita perlukan adalah peningkatan kemahiran tenaga kerja kita untuk belajar mengguna pakai teknologi baharu ini, seterusnya menjadikan kehidupan kita lebih mudah dan baik.”

AI mengisi kekangan

Dalam industri tertentu, AI tidak digunakan untuk mengganti pekerja, sebaliknya sebagai sokongan.

Ketika Covid19- melanda dan kebanyakan pekerja asing pulang ke negara asal, restoran QBistro mula menggunakan pelayan robot.

“Dari segi ketahanan, ia mampu bekerja 12 jam sehari tanpa henti. Dari segi kos kami menjimatkan kira-kira 20% hingga 30%,” kata Pengurus Operasi Francais QBistro Ubaidah Abdul Karim kepada FMT.

Ubaidah berkata, walaupun kos membeli satu pelayan robot adalah tinggi, pulangan pelaburan mampu dicapai dalam tempoh tiga tahun.

Beliau bagaimanapun menegaskan ini tidak bererti ia akan menggantikan pekerjanya sepenuhnya.

“Pada masa depan, kita tidak akan bergantung 100% pada manusia, tetapi kita perlukan kedua-duanya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.