64% rakyat berdepan diskriminasi sejak setahun lalu, kata kumpulan

64% rakyat berdepan diskriminasi sejak setahun lalu, kata kumpulan

Kajian dijalankan Architects of Diversity mendapati mereka berdepan dikriminasi di media sosial, semasa mencari pekerjaan dan di tempat kerja.

Kajian secara dalam talian itu mendapati responden Melayu dan India lebih cenderung melaporkan diskriminasi berkaitan upah berbanding responden Cina.
KUALA LUMPUR:
Majoriti rakyat di negara ini pernah berdepan diskriminasi dalam tempoh 12 bulan lalu, menurut kajian dijalankan Architects of Diversity.

Pengarah eksekutif kumpulan pembaharuan sosial itu, Jason Wee, berkata kajian dijalankan mendapati 64% rakyat Malaysia pernah berdepan diskriminasi, terutama melalui media sosial (32%), semasa mencari pekerjaan (30%), dan di tempat kerja (29%).

Wee berkata, sebanyak 3,238 respons diperoleh dari seluruh negara untuk Kajian Keadaan Diskriminasi 2023 oleh kumpulan itu.

Kajian dalam talian itu mendapatkan maklum balas daripada semua kaum utama, dengan 1,469 responden berumur antara 25 hingga 39 tahun.

“Rakyat Malaysia yang pernah mengalami diskriminasi berkaitan dengan status sosio-ekonomi mereka (38%), usia (33%), dan etnik (32%),” kata Wee, selepas mengumumkan keputusan kajian itu.

Beliau berkata, rakyat juga berbelah-bahagi mengenai sejauh mana mereka berpuas hati dengan usaha kerajaan dalam menangani diskriminasi, dengan 45% berpuas hati dan 40% tidak berpuas hati.

Baki responden yang lain tidak memberi komen atau tidak memahami subjek itu dengan baik.

Mereka dalam kumpulan umur 18-24 tahun, yang dikenali sebagai Generasi Z, lebih cenderung melaporkan pernah mengalami diskriminasi berkaitan etnik (43%).

Orang India melaporkan mereka berdepan lebih banyak diskriminasi daripada kaum lain ketika mencari pekerjaan (51%), mencari tempat tinggal (35%), dan berurusan dengan polis (21%).

Syarat pekerjaan (62%) dan upah (53%) antara dilaporkan dalam diskriminasi di tempat kerja.

Wee berkata, orang berasal dari Malaysia Timur lebih cenderung mengalami diskriminasi berkaitan syarat pekerjaan (72%).

Melayu (56%) dan India (60%) lebih cenderung melaporkan diskriminasi berkaitan upah berbanding Cina (41%) dan Bumiputera lain (51%).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.