266 sekolah agama di Johor tak berdaftar

266 sekolah agama di Johor tak berdaftar

Ia membabitkan 31 sekolah tahfiz, 12 pondok agama, 10 sekolah rendah Islam dan 213 prasekolah.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor Mohd Fared Mohd Khalid berkata 37 sekolah agama dalam proses melengkapkan pendaftaran. (Gambar Bernama)
ISKANDAR PUTERI:
Jabatan Agama Islam Negeri Johor (Jainj) mengesan 266 sekolah agama swasta di Johor yang belum berdaftar dan diluluskan penubuhannya, DUN Johor diberitahu.

Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid, berkata ia membabitkan 31 sekolah tahfiz, 12 pondok agama, 10 sekolah rendah Islam dan 213 prasekolah.

“Sebagai makluman tambahan, Jainj kini giat berusaha untuk memberi pendedahan tentang kewajiban mendaftar kepada institusi pendidikan peringkat prasekolah.

“Bagi sekolah-sekolah tahfiz yang ingin berdaftar dalam negeri Johor, sekolah itu perlu melalui beberapa proses kelulusan mengikut Kaedah-Kaedah Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam 1981,” katanya ketika menjawab soalan lisan Gan Peck Cheng (PH-Penggaram) pada persidangan DUN Johor.

Fared berkata, Jainj juga akan terus memantau dan membantu sekolah tahfiz yang mempunyai kekangan dalam mendapatkan kelulusan pendaftaran daripada pelbagai pihak.

Setakat ini, terdapat 37 sekolah agama swasta merangkumi kategori sekolah tahfiz, sekolah pondok, sekolah menengah Islam dan sekolah rendah Islam dalam proses untuk mendapatkan pendaftaran penuh dan melengkapkan dokumen pendaftaran mereka, kata beliau.

Terdahulu, Gan bertanyakan bilangan sekolah-sekolah agama swasta yang tidak berdaftar dan proses pemutihan yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.