
Ketua Polis Perak Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya menerima laporan daripada wanita berusia 62 tahun yang berasal dari Taman Wah Keong itu di Ipoh semalam.’
Mohd Yusri berkata, pada 27 Mac 2020, pengadu menerima panggilan telefon daripada individu tidak dikenali yang memperkenalkan diri sebagai pekerja syarikat kurier.
Individu yang mengaku pekerja syarikat kurier itu dilaporkan memberitahu mangsa bahawa dia mempunyai bungkusan yang bermasalah.
“Pengadu kemudian membuat pengesahan di nombor telefon palsu ‘Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah’ yang diberikan oleh ‘pekerja syarikat kurier’ itu, dan dimaklumkan oleh seorang ‘pegawai polis’ kononnya dia terlibat dalam kes jenayah pengubahan wang haram dan dadah,” katanya, lapor Bernama.
Mohd Yusri berkata, suspek kemudiannya menunjukkan kepada mangsa dokumen waran tangkap mahkamah atas namanya.
Tambahnya, mangsa mempercayai kata-kata suspek dan sepanjang urusan itu, mangsa berkomunikasi dengan lima orang yang menyamar sebagai pegawai polis dengan perwatakan berlainan.
Katanya, pengadu mendedahkan semua maklumat sulit tentang akaun bank dan akaun dompet digital kepada kesemua suspek serta mengikut arahan memindahkan wang kepada pelbagai akaun bank milik individu lain.
“Pengadu hanya sedar tentang penipuan suspek setelah menunggu sekian lama seorang suspek yang kononnya akan datang berjumpa dengannya di Ipoh sejak 2020 lagi,” katanya.
Kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.