
Hakim Kamarudin Kamsun turut memerintahkan Yap Hong Yee, 35, menjalani hukuman penjara bermula tarikh tangkapan pada 9 Sept lalu, selain dia akan dipenjara tiga bulan, jika gagal membayar denda itu.
Yap didakwa menyalahgunakan RM415,000 yang dimasukkan ke akaun banknya hasil jualan kenderaan milik Fan Zhongyang, 25, di Persiaran Mewah Bandar Tun Razak, Cheras antara 3 hingga 25 Nov 2022.
Lelaki itu dituduh mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebatan dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amir Hannif Ahijman memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh, mengambil kira nilai kerugian dialami mangsa.
“Dalam kes ini, kenderaan itu bernilai RM500,000 dan mangsa mengalami kerugian kerana kenderaan berkenaan dijual pada harga RM415,000.”
Yap yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan atas alasan dia perlu menjaga seorang anak dan bapanya.
Mengikut fakta kes, mangsa berurusan dengan tertuduh dalam urusan jual beli kereta jenis Bentley Continental GT bernilai RM500,000 dan kereta itu dihantar kepada tertuduh untuk dijual.
Februari lalu, tertuduh memaklumkan kereta itu mempunyai pembeli serta meminta mangsa menyerahkan nombor akaun banknya sebagai pembayaran wang pendahuluan, namun mangsa tidak menerima wang terbabit dan mengesyaki ditipu tertuduh.
Berikutan itu, mangsa meminta tertuduh memulangkan kereta berkenaan dan semakan nombor pendaftaran kenderaan mendapati kereta itu bertukar milik kepada pihak lain menggunakan nombor pendaftaran lain.
Hasil siasatan polis mendapati tertuduh menyalahgunakan RM415,000 yang dimasukkan ke akaun banknya.