
Haslina Hashim, seorang ahli jawatankuasa sayap Wanita Umno di situ, berkata orang yang perlu dipilih mesti seseorang yang akan mudah disayangi penduduk kerana keperibadian dan kebolehannya.
“Di Pelangai ini kalau tak pandai cara… habis. Arwah memang orang sayang,” katanya kepada FMT, merujuk kepada wakil rakyat terdahulu, Johari Harun yang meninggal dunia pada 17 Ogos lalu dalam nahas pesawat di Shah Alam.
Haslina menyenaraikan beberapa kriteria lazim bagi calon pilihan, seperti orang tempatan, kepimpinan, dan sentiasa ada untuk menolong, namun paling menarik perhatian berkait isu kronisme.
“Kita memerlukan Adun yang tidak mewujudkan kroni, yang boleh dengar masalah rakyat akar umbi,” katanya, dan menambah peluang wajar diberi kepada nama yang ‘tidak terkenal’.
“Jadi risiko untuk beliau memilih kroni dalam memberi bantuan agak tipis. Sebab orang tak ‘kenal’ dia, siapa nak menghimpit? Kalau ramai sangat ‘buaya’ menghimpit, orang yang sepatutnya dapat bantuan tak dapat.”
DUN Pelangai mempunyai lebih 16,400 pemilih berdaftar dan mempunyai beberapa penempatan Felda. Ia bersempadan dengan Negeri Sembilan dan terletak bawah Parlimen Bentong bersama DUN Ketari, DUN Bilut, dan DUN Sabai.
Rakyat Parlimen Bentong diwakili oleh ahli politik DAP, begitu juga Ketari dan Bilut. Sabai diwakili oleh ahli politik MIC.
Barisan Nasional Pahang menyenarai pendek enam nama untuk pilihan raya pada Oktober depan, iaitu Mohamad Zaini Salleh (pemangku ketua Umno Bentong), Hazraf Ali Hasan (naib ketua Umno Bentong), Jamaludin Buyong (AJK Umno Bentong), Fadliyatun Ahmad (naib ketua Wanita Umno Bentong), dan dua bekas ketua Pemuda, Ekmal Hamid Zakaria dan Khairuddin Yaakob.
Ketua Pemuda Bentong Hafifi Jamaludin terus-terang meminta pucuk pimpinan mempertimbangkan Jamaludin (tiada hubungan kekeluargaan), tanpa mengecilkan kelayakan lima calon lain.
Selain bebas daripada isu kontroversi, Jamaludin seorang ahli Majlis Perbandaran Bentong, dan pernah menjadi penyelaras bagi Ketari dan Bilut, katanya.
“Satu kelebihan kepada beliau untuk menang,” katanya kepada FMT.