Polis belum terima permohonan himpunan ‘Selamatkan Malaysia’

Polis belum terima permohonan himpunan ‘Selamatkan Malaysia’

Setakat ini polis menerima enam laporan berhubung perhimpunan anjuran Pemuda PN itu dengan lima individu dirakam keterangan.

Ketua Polis Kuala Lumpur Allaudeen Abdul Majid berkata permohonan permit perlu dibuat sekurang-kurangnya lima hari sebelum tarikh perhimpunan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Polis belum menerima sebarang permohonan berhubung penganjuran perhimpunan “Selamatkan Malaysia” yang dirancang diadakan di ibu negara Sabtu ini, kata Ketua Polis Kuala Lumpur Allaudeen Abdul Majid.

Beliau berkata, mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012, permohonan permit perlu dibuat sekurang-kurangnya lima hari sebelum tarikh perhimpunan.

“Tempoh itu telah pun berakhir, namun belum ada sebarang permohonan dibuat penganjur,” katanya dalam sidang media Op Hormat Undang-undang Jalan Raya Polis Kuala Lumpur Fasa 2.

Setakat ini katanya, pihaknya menerima enam laporan polis berhubung perhimpunan anjuran Pemuda Perikatan Nasional (PN) itu dengan lima individu dirakam keterangan, termasuk Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari dan Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

“Tiga lagi ialah Adun Gombak Setia (Muhammad Hilman Idham) dan dua wartawan membuat liputan sewaktu sidang media Fadhli mengenai perhimpunan itu. Seorang lagi individu diminta hadir memberi keterangan untuk membantu siasatan polis.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.