Peniaga nafi cerai isteri 2 suami, 8 Okt sumpah laknat

Peniaga nafi cerai isteri 2 suami, 8 Okt sumpah laknat

Defendan mendapat maklumat dari Pejabat Agama Shah Alam bahawa isteri keduanya berkahwin lagi dengan lelaki lain.

Hakim membuat keputusan itu terhadap Rahaman K A Mohamed Jaafar, defendan bagi kes pengesahan lafaz cerai oleh plaintif, Wan Nor Shakirin Wan Abdul Razak.
PETALING JAYA:
Mahkamah Rendah Syariah Tanah Merah menetapkan 8 Okt ini untuk seorang peniaga melakukan sumpah laknat bagi menafikan lafaz cerai ke atas isteri keduanya yang didakwa mempunyai dua suami.

Sinar Harian melaporkan Hakim Ahmad Hariri Mohd Saad membuat penetapan itu terhadap Rahaman K A Mohamed Jaafar, 47, yang juga defendan bagi kes pengesahan lafaz cerai oleh plaintif, Wan Nor Shakirin Wan Abdul Razak, 32.

Mahkamah menetapkan sumpah itu selepas mendapati keterangan Shakirin tidak kukuh.

Wanita terbabit sebelum itu memberitahu mahkamah Rahaman melafazkan cerai talak tiga terhadapnya, namun Rahaman menafikannya.

Mereka mendirikan rumah tangga pada 2 Jan 2019 di Narathiwat, Thailand dan disahkan mengikut hukum syarak oleh mahkamah itu pada 6 Jun lalu serta didaftarkan di Pejabat Agama Jajahan Tanah Merah.

Tetapi, Rahaman mendapat maklumat dari Pejabat Agama Shah Alam bahawa Shakirin berkahwin lagi dengan lelaki lain, iaitu Mohd Kamarulazhar Ayob, 42.

Susulan itu, Rahaman melalui peguam syarie, Marzuqi Muhamad pada 5 Julai lalu memfailkan tuntutan faraq (pemisahan atau pembubaran) nikah terhadap perkahwinan antara Shakirin dan Kamarulazhar di Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu.

Bagi kes itu, mahkamah pada 7 Ogos lalu memutuskan perintah faraq nikah sementara terhadap perkahwinan Shakirin dan Kamarulazhar sehingga kes pengesahan lafaz cerai antara Shakirin serta Rahaman selesai, sebelum meneruskan kes tuntutan faraq nikah itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.