Naik gaji, tingkat kualiti hidup rakyat, kata Rafizi

Naik gaji, tingkat kualiti hidup rakyat, kata Rafizi

Menteri ekonomi berkata fokus kerajaan perpaduan adalah meningkatkan kadar pendapatan rakyat kerana memberi kesan langsung terhadap kualiti hidup.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata program perlu diwujudkan yang boleh menjana pendapatan mampan untuk isi rumah.
PUTRAJAYA:
Fokus kerajaan perpaduan adalah meningkatkan kadar pendapatan rakyat, kerana ini memberi kesan langsung terhadap kualiti hidup mereka secara keseluruhannya, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Beliau berkata, kira-kira separuh rakyat Malaysia yang digajikan mendapat hanya RM2 di atas garis kemiskinan RM2,208, dengan majoriti isi rumah jatuh bawah kategori berpendapatan rendah.

“Cabaran sebenar negara ini berkait pendapatan. Jadi bila bercakap mengenai menghapuskan kemiskinan, kita perlu mewujudkan program yang boleh menjana pendapatan mampan untuk isi rumah ini.

“Setelah meningkatkan kadar pendapatan, beberapa faktor dalam indeks kemiskinan pelbagai dimensi juga akan dibaiki secara sendirinya.

“Contohnya, jika kita lihat akses kepada internet atau (kemudahan) kesihatan dan sebagainya, kita sedia maklum apabila tahap pendapatan meningkat, kualiti kehidupan turut meningkat, jadi marilah fokuskan terhadap itu (terlebih dulu),” katanya kepada pemberita dalam satu majlis.

Katanya, disebabkan itu kerajaan melabur dalam infrastruktur bawah pelbagai inisiatif bagi mengurangkan kemiskinan, termasuk Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR).

Program IPR berjumlah RM750 juta melibatkan tiga inisiatif iaitu Inisiatif Usahawan Tani (Intan), Inisiatif Usahawan Makanan (Insan), dan Inisiatif Operator Perkhidmatan (Ikhsan).

Rafizi mengulas kenyataan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin, yang membangkitkan keraguan terhadap sasaran kerajaan perpaduan untuk menghapuskan kemiskinan tegar.

Pengerusi Perikatan Nasional itu menyoal sama ada garis kemiskinan digunakan kerajaan masih realistik, dan berkata pendekatan diambil perlu beralih daripada bergantung kepada pendapatan isi rumah kepada menangani kemiskinan pelbagai dimensi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.