
Perkara itu dinyatakan semasa Menteri Pertahanan Mohamad Hasan yang dalam rangka lawatan kerja ke United Kingdom bagi menghadiri Defence and Security Equipment International (DSEI 2023), mengadakan pertemuan dengan beberapa pemain utama industri pertahanan antarabangsa pada program itu yang diadakan di ExCel, London.
Kementerian Pertahanan dalam kenyataan memaklumkan pertemuan itu juga bagi mendapatkan perkembangan terkini pembangunan industri pertahanan serta penggunaan peralatan dan sistem teknologi pertahanan terkini.
“Kehadiran delegasi Kementerian Pertahanan ke DSEI 2023 dari 12 hingga 15 Sept itu juga dimanfaatkan sepenuhnya untuk mempromosikan Pameran Defence Services Asia 2024 & National Security Asia 2024 yang akan diadakan mulai 6 hingga 9 Mei 2024 di Kuala Lumpur,” menurut kenyataan itu.
Lawatan kerja Mohamad dan delegasi ke United Kingdom adalah atas jemputan bekas setiausaha pertahanan United Kingdom Ben Wallace yang turut disertai Panglima Angkatan Tentera Mohammad Ab Rahman dan Panglima Tentera Darat Muhammad Hafizuddeain Jantan.
Dalam lawatannya bermula semalam itu, Mohamad turut berkesempatan mengadakan pertemuan dengan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom Zakri Jaafar, seterusnya mengadakan perbincangan dengan ketua jabatan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia.
“Pertemuan berkenaan antaranya bagi memaklumkan mengenai perkembangan terkini dalam negara serta berkongsi pendirian Malaysia berhubung isu-isu keselamatan serantau,” menurut kenyataan itu.