DNAA Zahid: Pelabur lihat Malaysia setaraf negara dunia ketiga, kata Muhyiddin

DNAA Zahid: Pelabur lihat Malaysia setaraf negara dunia ketiga, kata Muhyiddin

Muhyiddin Yassin berkata keputusan DNAA Zahid itu bukan satu contoh yang baik mengenai kebebasan sistem keadilan di dalam negara.

Muhyiddin Yassin berkata keputusan melepas tanpa membebaskan Zahid Hamidi bukan contoh baik. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) mendakwa Malaysia kini dilihat setaraf dengan negara dunia ketiga oleh pelabur asing susulan keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Zahid Hamidi daripada 47 tuduhan rasuah.

Beliau berkata keputusan itu bukan contoh baik dalam usaha menarik pelabur asing yang mahu sistem keadilan benar-benar bebas daripada campur tangan pemerintah.

“Berita pelepasan seorang pemimpin kanan kerajaan daripada 47 tuduhan rasuah atas arahan peguam negara selepas dipanggil membela diri di mahkamah bukanlah satu contoh yang baik mengenai kebebasan sistem keadilan.

“Kita dilihat oleh pelabur asing sebagai negara dunia ketiga,” katanya semasa membahaskan pembentangan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 di Dewan Rakyat.

Minggu lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan Zahid daripada 47 tuduhan rasuah, pecah amanah, dan pengubahan wang membabitkan dana Yayasan Akalbudi; selepas timbalan pendakwa raya memaklumkan Jabatan Peguam Negara ingin menghentikan semua prosiding pada peringkat itu.

Muhyiddin berkata tidak sampai setahun Perdana Menteri Anwar Ibrahim memimpin kerajaan segala janji-janji reformasi yang dicanang sepanjang lebih 20 tahun menjadi pemimpin pembangkang dahulu kini sudah dilupakan.

“Tatakelola katanya kini sudah jadi ‘tatakelaut’. (Ahli Parlimen) Tambun semasa pembentangan kajian separuh penggal RMK12 memetik hadis berkenaan dengan sifat amanah.

“Pernyataan ini baik tetapi saya sangsi dengan kemampuan Tambun untuk mengotakan apa yang dikata,” katanya.

Menyentuh isu kenaikan harga beras, Muhyiddin berkata kerajaan dilihat tidak melakukan tindakan segera dan berkesan untuk mengatasi masalah rakyat itu.

“Beras adalah makanan ruji rakyat. Ia adalah barangan terkawal.

“Takkanlah tidak ada satu tindakan tegas daripada kerajaan untuk mengawal harga beras agar ianya tidak menjadi terlalu mahal sehinggakan tidak mampu dibeli oleh rakyat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.