Syed Saddiq tiada asas moral kritik kes Zahid, kata pemimpin DAP

Syed Saddiq tiada asas moral kritik kes Zahid, kata pemimpin DAP

Dr Boo Cheng Hau berkata, presiden Muda itu sebaliknya perlu melihat kes mahkamah dihadapinya dulu.

Dr Boo Cheng Hau (kiri) berkata, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sepatutnya menghalakan kemarahannya kepada Jabatan Peguam Negara berhubung pembebasan bersyarat Zahid Hamidi.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin DAP Johor yang pernah memberi amaran tidak mengalu-alukan Muda menyertai Pakatan Harapan (PH) berkata, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tiada asas moral untuk mengkritik pembebasan bersyarat Zahid Hamidi.

Dr Boo Cheng Hau berkata, Ahli Parlimen Muar itu terlebih dahulu perlu melihat pertuduhan pecah amanah (CBT) yang dihadapi dirinya.

Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan bekas penolong bendahari Pemuda Bersatu, Rafiq Hakim Razali dalam kes pecah amanah membabitkan RM1 juta.

Presiden Muda itu juga didakwa menyalahgunakan sumbangan RM120,000 untuk PRU14 serta dua pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM100,000.

Boo, yang merupakan ahli Jawatankuasa DAP Johor, berkata beberapa pemimpin dalam parti itu, termasuk Pengerusi negeri Liew Chin Tong mendesak bekas menteri belia dan sukan itu mempertahankan kerusi Parlimen Muar.

Katanya, beliau membantah kerusi Parlimen Tanjung Piai dan DUN Puteri Wangsa diserahkan kepada Muda tahun lalu disebabkan pertuduhan pecah amanah yang dihadapi Syed Saddiq.

Beliau berkata, pemberian kerusi kepada Muda bertentangan prinsip individu didakwa tidak patut memegang sebarang jawatan awam atau parti kerana ia boleh dijadikan “tebusan” untuk tawar-menawar demi kepentingan peribadi.

“Terus-terang saya katakan dia tiada kredibiliti untuk mengulas DNAA Zahid,” katanya kepada FMT merujuk keputusan melepas tanpa membebaskan Zahid atas tuduhan rasuah.

“Beliau sepatutnya berundur pada PRU lalu dan memimpin melalui teladan.”

Boo mengulas keputusan Muda menarik sokongan kepada kerajaan perpaduan susulan keputusan kes Zahid.

Syed Saddiq berkata, keputusan memberi pembebasan bersyarat kepada Zahid menyukarkan Muda kekal dengan blok kerajaan kerana ia tidak mahu membenarkan Malaysia menormalisasikan rasuah.

Namun, Boo berpendapat Syed Saddiq sekadar serkap jarang kerana Perdana Menteri, Anwar Ibrahim tiada kaitan dengan keputusan itu.

Katanya, sistem keadilan – iaitu Jabatan Peguam Negara, pendakwa raya dan badan kehakiman – dan kerajaan adalah bebas.

“Sungguh ironi apabila Syed Saddiq mahu kerajaan campur tangan sedangkan reformasi yang sewajarnya bermakna kedua-dua cabang ini mesti bebas.

“Syed Saddiq sepatutnya menghalakan kemarahannya kepada Jabatan Peguam Negara, bukannya Anwar dan tidak menjadikan kes Zahid sebagai alasan meninggalkan kerajaan sedangkan kerajaan tiada kaitan dengannya.”

Beliau berkata, pindaan Perlembagaan perlu untuk membolehkan penjawat awam tertinggi ditapis dan diluluskan jawatankuasa Parlimen tertentu sebelum nama calon diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk diperkenankan.

Jika perkara itu dilakukan sejak dulu, katanya, ia akan menghalang perdana menteri didakwa mencampuri proses undang-undang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.