
Mitsubishi Pajero dipandu suspek 29 tahun itu hilang kawalan dan terbabas ketika melalui selekoh di persimpangan lampu isyarat Kampung Gaung, dekat jalan pintasan Pasir Mas.
Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail, berkata pihaknya bertindak atas maklumat risikan sepasukan anggota yang mengesan kenderaan dipandu suspek di Selising, Pasir Puteh.
“Menyedari kehadiran anggota KPDN, suspek memecut kenderaannya sejauh 50km melalui Jalan Kok Lanas-Kemubu-Pendek menghala ke Pasir Mas,” katanya menurut Sinar Harian.
Sejurus tiba di persimpangan lampu isyarat Kampung Gaung, katanya, kenderaan dipandu suspek terbabas di selekoh dan terbalik ke laluan bersebelahan.
Beliau berkata, anggotanya segera menahan suspek dalam kenderaan itu dan pemeriksaan lanjut menemui 1,349kg minyak masak bersubsidi dengan nilai rampasan anggaran RM3,372.50 di dalamnya.
Katanya, suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.