Kenapa jual saham syarikat LTAT kepada swasta, soal wakil pembangkang

Kenapa jual saham syarikat LTAT kepada swasta, soal wakil pembangkang

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) berkata tindakan itu hanya menggagalkan usaha kerajaan meningkatkan pemilikan ekuiti Bumiputera.

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata tindakan Putrajaya itu mencetuskan kebimbangan kepada pencarum dan warga tentera. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) mempersoalkan tindakan Putrajaya membenarkan Boustead Holdings Bhd (BHB), anak syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) menjual 33% sahamnya di dalam Boustead Plantations Bhd kepada Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK) dengan pertimbangan tunai RM1.15 bilion.

Ketua Pemuda Bersatu itu, berkata tindakan melepaskan sejumlah saham berkenaan kepada syarikat swasta hanya menggagalkan sasaran negara untuk meningkatkan pemilikan ekuiti Bumiputera.

“Saya nak tanya apakah rasional kita izinkan pembelian saham ini dan dijual kepada KLK. Kenapa tidak dijual kepada Sime Darby Bhd di bawah PNB kalau benar kita mahu mencapai sasaran RMK12 untuk pegangan ekuiti Bumiputera terus diperkasakan?

“Ini satu kembimbangan yang merunsingkan para pencarum dan warga tentera,” katanya ketika membahaskan Kajian Separuh Penggal RMK12 bagi tempoh 2023-2025 di Dewan Rakyat.

Pada 24 Ogos lalu, KLK memuktamadkan perjanjian kerjasama strategik (SCA) dengan LTAT dan BHB, yang menyaksikan KLK mengambilalih 33% saham Boustead Plantations dengan pertimbangan tunai RM1.15 bilion.

Ketika ini, BHB menguasai 57.42% kepentingan dalam Boustead Plantations manakala LTAT memegang 10.59% kepentingan dalam syarikat perladangan itu.

Berdasarkan cadangan pengambilalihan itu, BHB dan LTAT akan memiliki baki kepentingan ekuiti kira-kira 35% dalam Boustead Plantations.

Wan Fayhsal turut menarik perhatian dewan sama ada penjualan saham itu kerana kegagalan urus tadbir BHB yang sebelum ini dikaitkan dengan skandal kapal tempur pesisir pantai (LCS).

Pembekalan enam LCS oleh Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS), anak syarikat BHB menjadi kontroversi selepas pendedahan projek berkenaan sepatutnya dilaksanakan dalam tempoh 10 tahun mulai 3 Okt 2013 hingga 2 Okt 2023 namun hanya siap 53.29% setakat 31 Mei 2019.

“Apakah ianya sebahagian usaha untuk mengkambus lubang yang berlaku dalam masalah di bawah BHB melibatkan LCS… kami memerlukan jawapan ini daripada Parlimen,” kata Wan Fayhsal.

Beliau juga membidas tindakan kerajaan menyambung konsesi logistik dan ubat-ubatan kepada Pharmaniaga Bhd sehingga 10 tahun walaupun syarikat milik LTAT itu menerima Nota Amalan 17 (PN17).

Pharmaniaga Bhd dikelaskan sebagai PN17 setelah melaporkan kerugian bersih RM664.39 juta pada suku terakhir 2022.

“Banyak syarikat kepada kerajaan ini yang sepatutnya jana pendapatan negara tapi gagal berbuat demikian sehingga kita punya sasaran pemilikan ekuiti jatuh mendadak.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.