
Ketika membahaskan Kajian Separuh Penggal RMK12, Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin berkata sekiranya berlaku, ia hanya akan menimbulkan suasana haru-biru khususnya kepada anggota penjawat awam yang bertindak sebagai badan pelaksana.
“Sekiranya terdapat keperluan beberapa penyesuaian dan penambahbaikan yang boleh kita laksanakan, kita perlu tegaskan bahawa KSP tak boleh bersifat seolah-olah mahu mengubah keseluruhan hala tuju RMK12,” kata Hamzah (PN-Larut).
“Jika kerangka ekonomi RMK12 yang disandarkan kepada Dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 itu boleh mencapai kejayaan, mengapa dasar tersebut dihapuskan dan digantikan dengan Ekonomi Madani yang kabur serta rapuh hala tujunya,” soal Hamzah.
RMK12 dibentangkan pertama kali oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob di Parlimen pada 27 Sept 2021.
Kerajaan semalam bersetuju menambah jumlah siling perbelanjaan dalam RMK12 sebanyak RM15 bilion, menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan kepada RM415 bilion.
Anwar yang juga menteri kewangan turut memaklumkan kerajaan akan membatalkan projek yang diluluskan sebelum ini, termasuk projek dalam Rancangan Malaysia terdahulu tetapi belum dimulakan dalam tempoh masa munasabah, bagi memberi laluan kepada projek rakyat yang lebih mendesak.
Sementara itu, Hamzah berkata dua tahun pertama pelaksanaan RMK12 merekodkan pertumbuhan purata KDNK 5.9% setahun, manakala 90% daripada 175 sasaran mengikut jadual dengan 31% daripadanya mencapai sasaran.
Bekas menteri dalam negeri itu juga berkata ekonomi negara mencatat pertumbuhan paling tinggi dalam tempoh 22 tahun apabila berkembang 8.7% – pencapaian terbaik dalam kalangan negara Asia Tenggara.
“Ini membuktikan bahawa apa yang dilaungkan dulu (terhadap pentadbiran lepas) tak betul… macam-macam tak betul tetapi dari segi fakta ini membuktikan ekonomi negara terletak di landasan tepat dalam pemerintahan kerajaan lepas,” katanya.
“Hakikatnya, kejayaan ekonomi Malaysia pada hari ini, kerangkanya disusun dengan baik dan rapi oleh PN.”
Perbahasan Hamzah kira-kira satu jam sebahagian besar berkisar mengenai isu mahkamah melepaskan Presiden Umno Zahid Hamidi tanpa membebaskannya, selain langkah Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman meninggalkan bangku pemerintah.
“Saya ucapkan tahniah kepada YB Muar (Syed Saddiq) yang berani bersuara dan berani bertindak secara betul dengan menarik sokongan kepada kerajaan,” katanya.