
Menjawab perbahasan Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin di Dewan Rakyat hari ini, Ahli Parlimen Titiwangsa Johari Ghani berkata perkembangan ekonomi Malaysia pada 2021 tidak mengatasi penguncupan yang dialami pada 2020, tidak sepertimana Singapura dan Indonesia.
Bekas menteri kewangan II itu menjelaskan Singapura dan Indonesia masing-masing menguncup 4.1% dan 2.1% pada 2020, namun melantun kepada 7.6% dan 3.7% pada 2021.
Malaysia bagaimanapun hanya berkembang 3.1% pada 2021, berbanding penguncupan 5.5% pada 2020. “Tidak cukup untuk ‘cover’ penguncupan yang berlaku pada 2020.”
Johari seterusnya menarik perhatian Dewan Rakyat kepada kadar pengangguran, yang mana pada 2021 ia meningkat kepada 730,000 orang iaitu 4.6% berbanding 581,000 orang atau 3.4% pada 2022.
Pemimpin Barisan Nasional menyeru pembangkang supaya melihat ekonomi secara mutlak apabila mahu bercakap tentangnya.
“Ekonomi ini rakyat biasa dia tak berapa faham. Jadi apabila kita membentangkan sebagai Ahli Parlimen, kita mesti bertanggungjawab,” katanya.
“Apabila kita cerita pasal soal ekonomi kita kena tengok angka-angka ini secara keseluruhan, bukan ‘pick and choose’ (memilih-milih).”
Terdahulu, Hamzah ketika membahaskan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 mendakwa kerangka yang disusun “dengan baik dan rapi” oleh pentadbiran Perikatan Nasional membawa kepada kejayaan ekonomi negara hari ini, sambil memetik perkembangan 8.7% pada 2022.
Angka tersebut merupakan pertumbuhan paling tinggi dalam tempoh 22 tahun sejak 2000, sekali gus pencapaian terbaik dalam kalangan negara Asia Tenggara.
Johari bagaimanapun berkata angka besar itu kerana “low base effect”.