Amaran polis taktik lapuk sekat perhimpunan awam, kata Suaram

Amaran polis taktik lapuk sekat perhimpunan awam, kata Suaram

Menurut Suaram polis mengeluarkan amaran walaupun tiada tanda perhimpunan awam akan diadakan menjadi tidak aman.

Menurut Suaram polis mengenakan syarat menyalahi undang-undang bukan sahaja pada protes Lawan Lapar hari ini tetapi juga pada ‘Walk for Judicial Independence’ tahun lalu.
PETALING JAYA:
Suara Rakyat Malaysia (Suaram) menggesa kerajaan persekutuan tidak mencontohi pentadbiran terdahulu dengan menyekat hak orang awam berhimpun secara aman.

Hanya dalam masa dua hari, Suaram berkata, polis mengeluarkan amaran kepada penganjur dan bakal peserta perhimpunan “Gerakan Selamatkan Malaysia” pada 16 Sept, serta menghalang penunjuk perasaan Lawan Lapar daripada berarak ke bangunan Parlimen untuk menyerahkan memorandum mengenai keterjaminan makanan.

“Amaran (berhubung) perhimpunan itu taktik lapuk (yang turut digunakan) oleh kerajaan terdahulu untuk menyekat perhimpunan awam yang sangat sensitif, walaupun tiada tanda-tanda perhimpunan tersebut tidak aman,” kata Pengarah Eksekutif Suaram Sevan Doraisamy dalam kenyataan.

Suaram menyamakan penghadang polis berlapis yang dilihat semasa protes Lawan Lapar hari ini dengan “rantaian manusia” dibentuk anggota polis pada acara “Walk for Judicial Independence” anjuran Badan Peguam Malaysia tahun lalu.

Kumpulan hak asasi manusia itu mendakwa, polis mengenakan “syarat yang menyalahi undang-undang” pada kedua-dua perhimpunan awam itu, yang membawa kepada penyerahan memorandum di tapak berhadang Lawan Lapar, manakala hanya sekumpulan wakil dibenarkan pergi ke Parlimen untuk acara “Walk for Judicial Independence”.

Suaram berkata, penting bagi polis memudahkan perjalanan perhimpunan pada 16 Sept itu, terutama selepas Perikatan Nasional (PN) berkata akan bekerjasama dengan penguat kuasa undang-undang.

Ketua Pemuda PN Ahmad Fadhli Shaari sebelum ini mengumumkan sebuah perhimpunan akan diadakan pada Hari Malaysia sebagai sebahagian daripada kempen #SelamatkanMalaysia.

Perhimpunan itu berkait isu yang dikatakan gagal dikendalikan oleh kerajaan, termasuk perbicaraan rasuah Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi baru-baru ini.

Suaram menggesa kerajaan meminda atau memansuhkan Akta Perhimpunan Aman 2012 bagi memastikan orang ramai dapat menggunakan sepenuhnya kebebasan asasi mereka untuk berhimpun tanpa diskriminasi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.