
Sim Tze Tzin (Pakatan Harapan-Bayan Baru) ketika membahaskan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) berkata, perhimpunan politik besar-besaran atau demonstrasi akan menjejaskan kemasukan pelaburan seterusnya menyebabkan kegagalan mencapai status negara maju.
“Pelabur amat sensitif dengan situasi politik domestik, sejumlah RM1.23 trilion pelaburan akan lari jika kita terus berbalah, jadi saya mohon supaya Bachok (Mohd Syahir Che Sulaiman) dan kawan-kawan di sebelah sana (pembangkang) tak payahlah buat apa-apa demonstrasi, ini akan menakutkan pelabur.
“Kita tahu bahawa kita ada kebebasan, boleh bersuara di sini (Parlimen), boleh membangkang di sini tak ada masalah tetapi pelabur amat sensitif terhadap himpunan besar-besaran dan pada 16 Sept, iaitu Hari Malaysia di mana kita harus bersama, bersatu-padu sebagai satu negara Malaysia, bukan masa untuk mengadakan demonstrasi,” katanya.
Menjawab celahan Syahir yang mempersoalkan cadangan Sim agar PN tidak mengadakan demonstrasi, Sim berkata, negara menyaksikan begitu banyak perhimpunan besar-besaran dan ceramah politik setiap kali berlangsung pilihan raya.
“Sekarang kita sudah ada banyak pilihan raya (kecil), ada perhimpunan boleh ceramah, tiada masalah,” katanya.
“Sudah cukuplah ceramah, perhimpunan besar-besaran pun sudah buat, cukuplah. Sekarang masa untuk fokus kepada ekonomi, fokus kepada perpaduan negara,” katanya.
Sim berkata, suhu politik negara masih belum reda walaupun selepas 10 bulan PRU15 diadakan, malah ada sesetengah pihak yang menggunakan isu 3R (kaum, agama, institusi diraja) untuk kepentingan politik.
Katanya, jika tidak ditangani, polarisasi politik itu dilihat mampu memecahbelahkan masyarakat ke tahap yang amat membimbangkan dan menimbulkan syak wasangka dalam kalangan rakyat.
Justeru, beliau mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Perhubungan Kaum dan Kestabilan Negara di Parlimen, melibatkan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang bertujuan mewujudkan forum untuk berbincang serta mencari penyelesaian kepada isu-isu sensitif.
“Malaysia perlu mencari forum yang sesuai untuk mencapai persetujuan politik terutamanya berkenaan isu sensitif, kaum, agama dan wilayah. Forum ini diperlukan kerana ahli politik boleh membincangkan isu melalui mesyuarat tertutup.
“… jawatankuasa ini bertujuan mencapai titik pertemuan segala masalah kaum dan agama secara rasional dan penuh rahmah …biarlah segala isu sensitif dibincangkan tanpa sekatan tapi matlamatnya adalah ke arah perpaduan negara dan bukan perpecahan,” katanya.