
Yang Dipertua Dewan Rakyat Johari Abdul berkata beliau telah menerima surat daripada presiden Muda itu berhubung permohonan untuk mengubah tempat duduk di dalam Dewan Rakyat.
“Saya telah menerima surat, beliau memohon untuk mengubah tempat, tidak ada masalah, saya telah meminta pihak pentadbiran mengubah tempat beliau ke tempat pembangkang,” katanya ketika ditemui pemberita di bangunan Parlimen, hari ini.
Semalam, Syed Saddiq dilapor menarik diri sebagai penyokong kerajaan dan memilih menjadi pembangkang kuasa ketiga dalam Dewan Rakyat.
Mesyuarat Khas Dewan Rakyat bersidang enam hari bermula hari ini yang memberi tumpuan kepada pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK12) oleh Perdana Menter Anwar Ibrahim.
Mengikut takwim di laman rasmi Parlimen, sesi perbahasan oleh Ahli Parlimen dijadual selama tiga hari bermula esok dan jawapan oleh kementerian berkaitan pada 18 serta 19 Sept.