Rombak atau tutup J-Kom, kerajaan diberitahu

Rombak atau tutup J-Kom, kerajaan diberitahu

Pakar berkata unit komunikasi komuniti bertindan fungsinya dan tidak cekap menyampaikan mesej Putrajaya kepada rakyat.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengakui kerajaan boleh melakukan lebih baik lagi dalam berkomunikasi dengan rakyat pada PRN enam negeri bulan lalu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kerajaan perlu menimbang sama ada menutup Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) atau sekurang-kurangnya melakukan rombakan dalam operasinya, kata pakar politik dan media.

J-Kom yang sepatutnya berperanan sebagai cabang komunikasi kerajaan ditugaskan menyampai mesej Putrajaya kepada rakyat. Ia diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Bagaimanapun, unit berkenaan dibelenggu kontroversi sejak penubuhannya pada 2021, dengan Pakatan Harapan (PH) mengancam akan menolak belanjawan yang mencadangkan penubuhannya.

Ahmad Faisal Fiah.

Ahmad Faisal Fiah dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), berkata fungsinya kelihatan bertindan dengan Kementerian Komunikasi dan Digital.

“Jika tugas dan fungsi J-Kom sudah bertindih dengan kementerian itu, ia berlebihan dan tiada tujuan.

“Apabila berkongsi maklumat dengan orang awam, tiada perbezaan antara mereka,” katanya kepada FMT.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengakui kerajaan boleh melakukan lebih baik lagi dalam berkomunikasi dengan rakyat, pada PRN enam negeri bulan lalu.

Jeniri Amir.

Felo Majlis Profesor Negara Jeniri Amir, berkata kerajaan perlu merombak J-Kom. Beliau mendakwa kegagalan unit tersebut menyampaikan dasar kerajaan dan menjawab kenyataan pembangkang menyumbang kepada kejayaan Perikatan Nasional pada PRN Ogos lalu.

Asrul Hadi Abdullah Sani.

“Komunikasi memainkan peranan penting menyampaikan naratif dan membentuk pemikiran awam. Membentuk persepsi awam cukup penting terutama menjelang pilihan raya,” katanya.

Asrul Hadi Abdullah Sani dari Bower Group Asia, pula berkata kurangnya strategi komunikasi menyeluruh bukan sebab utama yang menyumbang kepada prestasi PH pada PRN baru-baru ini.

“Bagaimanapun, komunikasi lebih baik pastinya membantu pengundi memahami dasar kerajaan dalam menangani isu utama seperti kos sara hidup dan pengangguran,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.