
Ketua Pengarah Kastam, Zazuli Johan berkata dalam serbuan kira-kira 12.45 tengah hari, JKDM menyita enam kotak dengan lima daripadanya berisi plastik lutsinar mengandungi serbuk kristal putih disyaki dadah berbahaya.
“Baki lagi sekotak dirampas itu mengandungi aksesori paip getah. Modus operandi sindiket ialah menyorokkan 338 bungkusan plastik lutsinar disyaki dadah dalam 72 gelung paip getah berwarna kuning. Dagangan ini diikrarkan paip getah tekanan tinggi.
“Tempat asal dadah ini mungkin bukan dari negara ini, maknanya ia dibawa masuk ke sini, kemudian untuk dieksport ke Australia. Modus operandi pertama kali digunakan itu bagi mengaburi pihak berkuasa kedua-dua negara,” katanya dalam sidang media di Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM di Kampung Jijan, di sini.
Zazuli berkata, hasil siasatan mendapati barangan itu akan dieksport ke Australia menggunakan laluan laut dan pengeksport menggunakan maklumat syarikat palsu menyebabkan tangkapan sukar dibuat ke atas suspek.
Katanya, JKDM berjaya mematahkan 17 cubaan menyeludup pelbagai jenis dadah ke Australia tahun ini dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Meskipun belum ada tangkapan dibuat, JKDM sedang berusaha berhubung dengan pihak berkuasa di Australia untuk mengesan dalang di sebalik sindiket ini.”