
Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal ingin tahu apakah beliau akan diberi ruang untuk menimbulkan perkara itu pada mesyuarat esok, menegaskan isu ini melibatkan kepentingan awam.
“Alasan Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak yakinkan kami,” katanya pada sidang media di Parlimen, merujuk kepada 11 alasan yang dilaporkan media.
Terdahulu, Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul ketika mempengerusikan mesyuarat khas pagi tadi mengumumkan usul Wan Fayhsal bagi mendapatkan penjelasan peguam negara ditolak, namun beliau akan diberi ruang untuk bercakap mengenainya selepas usul KSP RMK12 dikemukakan.
Hari ini Dewan Rakyat memulakan mesyuarat khas untuk pembentangan KSP RMK12, dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim membentangkan usul pagi tadi.
Perbahasan berkaitan selama tiga hari bermula esok hingga Khamis, manakala perdana menteri akan menjawab persoalan-persoalan berbangkit pada 18 dan 19 Sept.
“Kami tidak diberitahu esok boleh dibawa ke tak,” kata Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim pada sidang media sama.
Wan Fayhsal mengemukakan usul tergemparnya pada 8 Sept lepas, dan memohon sidang Dewan Rakyat ditangguh untuk memberi laluan kepada usulnya.
Minggu lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan Zahid daripada 47 tuduhan rasuah, pecah amanah, dan pengubahan wang membabitkan dana Yayasan Akalbudi; selepas timbalan pendakwa raya memaklumkan Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap beliau pada peringkat itu.