
Mengibaratkan Umno sebagai sebuah rumah, Ketua Puteri Umno Nurul Amal Mohd Fauzi berkata ahli sepatutnya perlu menjaga parti dengan sebaik mungkin supaya menjadi tempat berlindung ketika panas dan hujan.

“Mereka (pembangkang) beritahu apa Umno perlu buat tetapi dia bangkang, kenapa hendak dengar cadangannya.
“Ini ‘rumah’ kita jadi kena pandai olah supaya jangan termakan provokasi dari bukan orang kita.
“Kenapa nak dengar pandangan yang bukan bersama kita,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas kritikan bekas pemimpin parti itu yang kini bersama atau menyokong Perikatan Nasional (PN) dalam menyelamatkan Umno yang berdepan prestasi tidak menentu sejak PRU14 dan terbaru PRN enam negeri.
Umno yang menjadi tunjang Barisan Nasional (BN) hilang kuasa mentadbir Putrajaya pada PRU14 dan menjadi sebahagian kerajaan perpaduan menerusi kerjasama dengan PH selepas PRU15.
Pada PRN enam negeri bulan lalu pula, Umno hanya menang 19 daripada 108 kerusi.
Bekas presiden Umno Dr Mahathir Mohamad pada kempen PRK Pulai mendakwa tidak mungkin Umno dapat dipulihkan semula dan ahlinya perlu menyokong PN jika tidak mahu terus ditipu parti hanya memperjuangkan nasib Presidennya Zahid Hamidi.
Sementara itu, Nurul berkata Puteri Umno akan menumpukan usaha menarik sokongan wanita berusia 15 tahun ke atas dengan menumpukan kepada penggunaan media sosial.
“Kena kuatkan dalaman dahulu barulah boleh rempuh (cabaran) di luar,” katanya.