Kes lelaki mati selepas dilarikan: Wanita antara 7 suspek ditahan

Kes lelaki mati selepas dilarikan: Wanita antara 7 suspek ditahan

Enam lagi suspek lain ditahan pada hari kejadian hingga semalam di sekitar Lembah Klang serta Johor.

Polis berkata, seorang wanita yang juga suspek keenam ditahan Sabtu lalu dan direman hingga Rabu ini. (Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
Seorang wanita antara tujuh individu ditahan bagi membantu siasatan penemuan mayat lelaki dalam kereta di Batu 14, Puchong minggu lalu.

Ketua Polis Cheras Zam Halim Jamaluddin berkata tangkapan pertama di sekitar Lembah Klang membabitkan empat lelaki pada hari kejadian, yang semuanya disambung reman hingga Rabu ini.

Beliau berkata, suspek lelaki kelima ditahan Jumaat lalu dan direman sehingga esok, manakala suspek keenam seorang wanita ditahan Sabtu lalu serta direman hingga Rabu ini.

“Suspek ketujuh pula ditahan di Johor semalam untuk membantu siasatan dan direman hingga Rabu ini,” menurut Harian Metro.

Media melaporkan mayat lelaki berusia 26 tahun itu yang dipercayai dilarikan sekumpulan lelaki di kawasan projek perumahan rakyat (PPR) Kampung Muhibbah pada 3 Sept lalu, ditemui dalam Proton Gen2 pada 6 Sept lalu.

Polis dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati motif kejadian dipercayai dendam kerana mangsa melarikan barang milik suspek utama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.