
Tarikh baharu bagi perbicaraan itu adalah antara 13 Feb dan 16 Feb tahun depan.
Mior Nor Haidir Suhaimi, selaku peguam Mahathir, berkata mahkamah memaklumkan pihak-pihak terbabit minggu lepas bahawa perbicaran terpaksa ditangguh kerana Hakim Rozana Ali Yusoff dipindahkan.
Perbicaraan itu sepatutnya berlangsung hari ini, sehingga Khamis.
“Perbicaraan kini ditetapkan pada tahun depan tapi belum tahu pengganti hakim,” kata Mior kepada pemberita selepas pengurusan kes secara dalam talian.
Menurut beliau, pengurusan kes seterusnya ditetapkan pada 28 Nov.
Peguam yang mewakili Zahid adalah Intan Hanis Afiqah Razali.
Mahathir, 98, dijadualkan memberi keterangan hari ini dan diikuti anaknya, Mukhriz. Zahid dan dua lagi saksi bagi pihak pembelaan dijadualkan beri keterangan kemudian.
Mahathir memfailkan saman itu pada 20 Julai tahun lepas, dengan menamakan Zahid, 70, sebagai defendan.
Bekas perdana menteri itu mendakwa Zahid mengeluarkan kenyataan memfitnah terhadapnya, semasa mesyuarat Umno bahagian di Kelana Jaya pada 30 Julai 2017.
Zahid dalam pernyataan pembelaan yang difailkan pada 17 Ogos tahun lepas, menafikan kenyataan yang dibuat berniat jahat untuk memfitnah dan merendahkan reputasi Mahathir di khalayak umum.