Impak ‘Singapura’, Bangsa Johor di selatan

Impak ‘Singapura’, Bangsa Johor di selatan

Sering berhubungan dengan warga seberang tambak dan manfaat ekonomi menjadikan orang Johor 'kurang curiga' dengan masyarakat lain.

Penganalisis berkata, masyarakat Melayu Johor mempunyai pemikiran berbeza berbanding negeri lain. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Penganalisis berpandangan “faktor Singapura” membentuk sikap orang Melayu Johor terhadap masyarakat lain kerana kebergantungan ekonomi melibatkan pelancongnya selain ramai bekerja di negara jiran itu.

James Chin dari University of Tasmania, berkata sering berhubungan dengan warga Singapura dan keperluan hidup bersama demi manfaat ekonomi menjadikan mereka “kurang curiga” kepada masyarakat lain, berbanding orang Melayu di negeri berlainan.

“Ini menjadi tambahan kepada identiti unik Bangsa Johor yang dipromosi keluarga diraja, sekali gus memberi impak kepada pemikiran mereka,” katanya kepada FMT.

James Chin.

Beliau mengulas kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada PRK Pulai dan Simpang Jeram, Sabtu lalu, yang mana ada dalam kalangan gabungan itu menggambarkan ia kejayaan politik sederhana.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara pula merujuk kemenangan PH di Simpang Jeram dengan margin selesa walaupun dalam kawasan terdiri majoriti pengundi Melayu.

Azmi Hassan.

“Ini menunjukkan cara fikir orang Melayu di Johor cukup berbeza berbanding negeri lain. Kemenangan berpihak (PH) walaupun penggunaan kaum dan agama yang kuat oleh Perikatan Nasional (PN) yang menunjukkan retorik seperti itu tidak berkesan di Johor,” katanya.

Chin berkata, khabar angin beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional akan keluar gabungan itu dan mempertahan kerusi mereka pada PRK “tertangguh” kesan daripada keputusan PRK Pulai dan Simpang Jeram.

Katanya, terlalu besar ketidakpastian sama ada mereka dipilih semula jika bertanding PRK atas tiket parti lain.

Azmi berkata, keputusan PRK pada Sabtu juga menunjukkan PN terlalu bergantung kepada undi Melayu dan hanya yakin menang di kawasan mempunyai lebih dua pertiga pengundi Melayu.

“Ya, calon PN di Pulai meraih tambahan 9,000 undi, namun mereka semua Melayu. Berkemungkinan (undi) daripada bekas penyokong BN yang beralih. Sejumlah besar pengundi tidak keluar berbanding pilihan raya November berkemungkinan penyokong PH,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.