
Ketika membentangkan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat, katanya ia bagi memberi laluan kepada projek rakyat lebih mendesak.
Menteri kewangan itu turut memaklumkan Jawatankuasa Khas Pemantauan KSP RMK12 akan ditubuhkan bagi memastikan setiap anggota Kabinet memantau pelaksanaan projek RMK12 agar rakyat mampu mengecapi nikmatnya tanpa berlengah.
“Pelan bagi pemantauan pelaksanaan kebijakan KSP RMK12 disediakan sebagai panduan bagi setiap kementerian dan agensi untuk melaksanakan semua kebijakan ini. Sebahagian daripada sasaran KSP RMK12 juga akan dijadikan KPI kementerian,” katanya menurut Bernama.
Justeru, beliau mengajak semua anggota dalam kerajaan, termasuk anggota pentadbiran dan ketua jabatan bersama melaksanakan tanggungjawab dengan jujur serta amanah bagi memastikan salah laku dan teguran audit yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara tidak berulang.
Beliau berkata, kerajaan perpaduan akan melaksanakan semua strategi dan inisiatif direncanakan dalam KSP RMK12 secara teratur, sistematik dan bertanggungjawab.
Katanya, kerajaan perpaduan akan berfungsi sebagai kerajaan cekap dan tangkas bekerja untuk memenuhi harapan rakyat, yang menepati ciri-ciri al-Qawiy al-Amin (berdaya saing dan berintegriti) serta Hafizun Alim (pelindung beramanah dan berilmu).
“Insya-Allah kita akan terus mengambil pendekatan aktif mendengar (perkara) melibatkan rakyat, menerima teguran supaya pelaksanaan RMK12 dapat dijalankan dengan memuaskan dan membantu kita dalam merangka RMK13.”
Levi pelbagai peringkat
Anwar berkata, kerajaan akan melaksanakan levi pelbagai peringkat (multi-tiered levy) dalam masa terdekat bagi memastikan peluang pekerjaan untuk warga tempatan serta peralihan kepada automasi dan mekanisasi, selain meneruskan dasar pekerja asing tidak melebihi 15% daripada jumlah tenaga kerja.
Katanya, ketidakpadanan kemahiran, gaji rendah dan peningkatan produktiviti perlahan merupakan isu pokok menghalang keupayaan Malaysia beralih kepada ekonomi berpendapatan tinggi.
“Kerajaan telah mengumumkan beberapa langkah berani untuk memperkenalkan model gaji progresif yang memberikan manfaat bukan saja kepada pekerja, tetapi juga majikan.
“Dasar ini melibatkan peningkatan gaji, kemahiran dan produktiviti pekerja, manakala majikan akan memperoleh faedah daripada peningkatan produktiviti, kesetiaan pekerja dan daya saing syarikat.”