Banduan kena hukuman mati mandatori, penjara seumur hidup kini boleh mohon semakan

Banduan kena hukuman mati mandatori, penjara seumur hidup kini boleh mohon semakan

Menteri Azalina Othman Said berkata Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat akan berkuat kuasa esok.

Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi Azalina Othman Said berkata 1,020 banduan yang dikenakan hukuman mati mandatori dan penjara seumur hidup boleh memohon semakan hukuman. (Gambar fail)
PUTRAJAYA:
Seramai 1,020 banduan yang dikenakan hukuman mati mandatori dan hukuman penjara seumur hidup kini boleh memfailkan permohonan untuk membuat semakan hukuman.

Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi Azalina Othman Said berkata ini berikutan penguatkuasaan Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 bermula esok, 12 Sept, susulan penguatkuasaan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 pada 4 Julai lepas.

Azalina dalam kenyataan berkata Jemaah Menteri pada 30 Ogos lepas bersetuju dengan mekanisme pengendalian prosiding mahkamah berhubung semakan hukuman mati mandatori dan pemenjaraan sepanjang hayat, hasil pelbagai sesi libat urus dengan pihak berkepentingan.

Pihak terlibat termasuk Jabatan Peguam Negara, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Jabatan Penjara, Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Majlis Peguam, Persatuan Undang-undang Sabah, dan Persatuan Peguambela Sarawak, bersama Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di Jabatan Perdana Menteri.

Azalina Othman Said.

“Keutamaan kepada pelaksanaan mekanisme ini merangkumi faktor seperti umur banduan, tahap kesihatan, dan tempoh pemenjaraan banduan serta pertimbangan-pertimbangan lain,” katanya.

Antara mekanisme yang dipersetujui adalah, banduan yang dikenakan hukuman mati dan tidak berkemampuan untuk melantik peguam dalam proses semakan boleh mendapatkan khidmat guaman melalui peguam yang dilantik oleh mahkamah.

Bagi banduan yang dikenakan hukuman pemenjaraan sepanjang hayat pula, mereka boleh mendapatkan khidmat guaman daripada YBGK.

“Kedua-dua perkhidmatan bantuan guaman yang ditawarkan ini mencerminkan keutamaan dan pendirian kerajaan dalam memastikan keadilan diberikan kepada semua rakyat,” katanya.

Azalina berkata penguatkuasaan akta itu melalui mekanisme yang dipersetujui oleh Jemaah Menteri mencerminkan komitmen yang tinggi oleh kerajaan dalam mempromosikan dan melindungi hak asasi manusia sejagat.

“Hal ini membuktikan bahawa prinsip ‘restorative justice’ dalam sistem keadilan jenayah sentiasa terpelihara.

“Malahan, ini juga membuktikan keprihatinan kerajaan perpaduan untuk memberi peluang kedua kepada banduan yang dikenakan hukuman mati dan pemenjaraan sepanjang hayat untuk kembali kepada masyarakat dan keluarga serta meneruskan kelangsungan hidup mereka sebagai rakyat biasa,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.