
Presiden APHM Dr Kuljit Singh berkata persatuan menerima surat daripada Pendaftar Lembaga Jururawat Malaysia yang memaklumkan pengecualian itu berkuatkuasa dari 1 Okt 2023 hingga 3 Sept 2024, dengan kemungkinan dilanjutkan bergantung pada permohonan semula dan kelulusan.
“Ini sekali gus mengurangkan tekanan pada hospital swasta akibat kesesakan yang berterusan dan ia juga membolehkan hospital swasta menyediakan lebih banyak katil,” katanya dalam kenyataan.
“Permintaan berterusan APHM akhirnya dibenarkan, dan pesakit yang mendapatkan rawatan swasta kini mempunyai akses lebih baik dan kadar masuk ke wad yang lebih cepat dengan adanya lebih katil.”

Pengecualian itu juga membolehkan hospital swasta membantu hospital kerajaan dalam sebahagian kerjasama hospital kerajaan-swasta, katanya.
Pada Jun lalu, laman berita kesihatan Code Blue memetik Kuljit sebagai berkata negara berdepan kekurangan jururawat, memaksa hospital swasta menggesa campur tangan kerajaan bagi mengambil jururawat asing.
Katanya, semakin ramai jururawat tempatan memohon pekerjaan di luar negara kerana tertarik dengan tawaran gaji yang lebih tinggi.
Kuljit juga berkata pengecualian itu menunjukkan kebimbangan Kementerian Kesihatan terhadap penyediaan penjagaan kesihatan swasta yang menjadi sebahagian daripada sistem penjagaan kesihatan awam.
“Kami berharap Kertas Putih Kesihatan akan meningkatkan kerjasama hospital kerajaan-swasta, dengan membenarkan pesakit menerima rawatan dengan segera, tanpa mengambil kira keadaan kewangan mereka, dan memastikan daya maju tenaga kerja untuk jangka masa panjang,” katanya.