Percubaan sistem Padu pada November, dibuka kepada umum tahun depan

Percubaan sistem Padu pada November, dibuka kepada umum tahun depan

Orang ramai boleh mula menggunakan sistem untuk mengesahkan maklumat peribadi itu pada Januari 2024, kata Rafizi Ramli.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, proses pembangunan sistem Padu setakat ini berjalan lancar mengikut garis masa dirancang. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Sistem Pangkalan Data Utama (Padu) dijangka melalui tempoh percubaan mulai November ini sebelum dibuka kepada orang ramai pada Januari 2024 untuk kegunaan pengesahan maklumat peribadi.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, setakat ini, proses pembangunan sistem itu, yang menggabungkan maklumat sosioekonomi bagi setiap isi rumah rakyat Malaysia, berjalan lancar mengikut garis masa dirancang.

“Garis masa Padu dari segi kerangka, ‘use case’, ‘interface’ dan ‘functionality’ dijangka siap menjelang Oktober ini sebelum diuji pada November hingga Disember dengan data sekumpulan rakyat Malaysia didaftarkan dahulu.

“Insya-Allah kalau semua berjalan baik, maka Padu akan siap untuk memegang (mengumpul) keseluruhan data rakyat Malaysia pada Januari 2024,” katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu program Buletin Bernama malam tadi.

Pada 15 Mei lepas, Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersetuju menubuhkan Padu untuk menggabungkan maklumat sosioekonomi setiap isi rumah di negara ini bagi memperkemas pelaksanaan subsidi bersasar.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, data sistem Padu yang sedang dibangunkan akan merangkumi 270 pangkalan data daripada kementerian dan agensi kerajaan persekutuan serta kerajaan negeri dan badan berkanun melalui perjanjian perkongsian data sedia ada.

Beliau berkata, apabila Akta Omnibus diluluskan di Parlimen nanti, ia akan mengambil alih tata kelola perkongsian data sistem berkenaan, dan menggantikan perjanjian itu.

Akta Omnibus yang akan dibentangkan di Parlimen pada Jun tahun depan antara lain bertujuan memastikan keselamatan perkongsian data serta memudahkan proses perkongsian data dan menjamin Padu sebagai pangkalan data berterusan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.