
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Puad Zarkashi berkata kejayaan itu boleh menjadi permulaan kebangkitan semula Umno 2.0 bermula di Johor selepas melalui prestasi buruk dalam beberapa pilihan raya.
Umno yang menaungi Barisan Nasional (BN) hilang pentadbiran Putrajaya pada PRU14 dan menjadi sebahagian kerajaan perpaduan menerusi kerjasama dengan PH selepas PRU15.
Pada PRN enam negeri bulan lalu pula, Umno hanya menang 19 daripada 108 kerusi.
Menurut Puad, kemenangan PH juga menggagalkan gabungan Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin 2.0 yang berhasrat membunuh Umno menggunakan sentimen gelombang hijau.
“Di Johor, kerjasama Umno-DAP lulus dan penyertaan dalam kerajaan perpaduan lulus.
“Ia buka jalan kebangkitan semula Umno 2.0 bermula di Johor,” katanya di Facebook.
Puad yang juga Adun Rengit berkata penjelasan kepada akar umbi mengenai rasional kerjasama Umno-DAP di bawah kerajaan perpaduan menjadi kunci kejayaan pada PRK itu.
“Walaupun lambat tetapi ia punca pengundi Umno keluar mengundi calon PH, ia mesti diteruskan selepas ini,” katanya.
Semalam, PH mempertahankan Parlimen Pulai menerusi Suhaizan Kayat dengan majoriti 18,641 undi manakala Nazri Abdul Rahman di DUN Simpang Jeram menikmati majoriti 3,154 undi.
PRK itu diadakan susulan kematian penyandang Salahuddin Ayub, yang juga timbalan presiden Amanah.