
Pengerusi PH menzahirkan penghargaan buat semua pengundi yang yakin terhadap usaha kerajaan perpaduan dalam membangunkan negara.
“Tahniah saya ucapkan kepada saudara Suhaizan Kayat dan Nazri Abdul Rahman yang memenangi PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram,” katanya di Twitter.
PH mengekalkan kedua-dua kerusi itu pada PRK semalam dengan majoriti 18,641 undi di Pulai dan 3,514 di Simpang Jeram.
Suhaizan memperoleh 48,283 undi, menewaskan Zulkifli Jaafar daripada Perikatan Nasional (29,642) dan calon bebas Samsudin Mohamad Fauzi (528) di Pulai.
Manakala Nazri mendapat 13,844 undi di Simpang Jeram, mengalahkan calon PN Dr Mohd Mazri Yahya (10,330) dan bebas S Jeganathan (311).
PRK itu diadakan susulan kekosongan luar jangka akibat kematian penyandang, Salahuddin Ayub yang juga timbalan presiden Amanah pada 23 Julai lalu.