
Puad berkata, meskipun beliau bukan ketua bahagian Umno Johor, namun kedudukannya sebagai ahli MKT memberi pengetahuan kukuh mengenai keputusan parti.
“Selaku ahli MKT saya tahu apa yang saya cakap. Saya hadir semasa MKT buat keputusan menyertai kerajaan perpaduan. Maksudnya Umno-PH bekerjasama dan secara tidak langsung ia membabitkan DAP.
“Itu pun bukan pandangan saya sendiri sedangkan presiden (Zahid) sebut dengan jelas di Maran, Pahang bahawa kerjasama BN-PH diteruskan hingga PRU16,” katanya di Facebook.
Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Umno Johor Abdul Halim Suleiman yang menyifatkan kenyatannya berkait kerjasama Umno dan DAP sebagai pandangan peribadi.
Pada Jun lepas, Zahid yang juga pengerusi BN dilaporkan berkata gabungan itu merancang meneruskan kerjasama dengan PH pada PRU16 walaupun timbul desakan supaya BN bergerak solo.
Mengulas lanjut, Puad bagaimanapun berkata kerjasama itu tidak bermakna BN ‘sertai PH’ mahupun ‘dicucuk hidung’.
“BN menang besar dalam PRK Mahkota sebelum ini dan MCA boleh bertanding di DUN Karamunting dan Tanjung Kapor pada PRN Sabah.
“Saya yakin Umno tidak berkompromi dalam isu UKEC walaupun DAP ugut keluar kerajaan. Pokoknya BN tetap tanding solo seperti di PRN Sabah,” katanya.