
“Saya bukan calon. Saya boleh berkempen untuk calon yang saya suka.
“Saya harap polis membuat siasatan jugalah di bawah akta SPR (Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954). Saya rasa tiada kesalahan yang saya lakukan,” katanya selepas Majlis Perasmian Karnival Usahawan Wanita di Maktab Rendah Sains Mara, Batu Pahat.
Presiden Umno itu berkata, beliau selaku menteri kemajuan desa dan wilayah mempunyai tanggungjawab serta kemampuan untuk memberikan sesuatu yang baik kepada penduduk Pulai.
“(Tengok) bagaimana mereka ugut kita seperti undi calon yang tidak disukai mereka masuk neraka…haram. Itu yang patut disiasat secara menyeluruh.”
Semalam, Bersih membuat laporan polis terhadap Zahid atas dakwaan membuat ucapan yang mungkin “mempengaruhi” pengundi Pulai “secara tidak wajar” untuk mengundi Pakatan Harapan (PH) pada PRK Sabtu ini.
Badan pemantau pilihan raya itu mendakwa Zahid menyatakan penambahbaikan PPR Melana Indah di Johor akan diteliti dan diluluskan dengan syarat calon PH, Suhaizan Kayat perlu memenangi PRK Pulai.
Katanya, kenyataan itu perlu disiasat kerana didakwa melanggar Seksyen 9 (pengaruh tidak wajar) dan Seksyen 10 (rasuah) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Bersih berkata, ucapan Zahid pada 3 Sept lalu juga bercanggah prinsip 3C (tanpa syarat, tanpa kempen, tanpa calon) yang digariskan Julai lalu untuk mengelakkan penyalahgunaan kelebihan jawatan.