Jangan lupa pengorbanan DAP untuk Muda, Sheikh Umar beritahu Syed Saddiq

Jangan lupa pengorbanan DAP untuk Muda, Sheikh Umar beritahu Syed Saddiq

Naib Pengerusi DAP Johor itu berkata, banyak telah dilakukan DAP sehingga Muda berhasil mendapatkan kerusi tunggal di peringkat DUN dan Parlimen.

Naib Pengerusi DAP Johor Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak seharusnya keterlaluan melabel dan mengecam DAP.
PETALING JAYA:
Naib Pengerusi DAP Johor Sheikh Umar Bagharib Ali meluahkan kekecewaan terhadap Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menurutnya seperti sudah melupakan pengorbanan parti itu untuk Muda susulan tindakan Ahli Parlimen Muar itu menggelar DAP “lapdog” (pengikut setia) Zahid Hamidi.

Sheikh Umar berkata, tuduhan “keterlaluan” yang dilemparkan Syed Saddiq, yang juga presiden Muda, terhadap DAP dan naib pengerusinya, Nga Kor Ming itu menggambarkan “keegoan tahap tertinggi” parti itu.

Katanya, Syed Saddiq seolah-olah melupakan sifat setia kawan dan dukungan DAP terhadap beliau dan Muda, terutama ketika PRN dan PRU di Johor pada 2022.

“Kita tahu bagaimana kerjasama dan pengorbanan dilakukan oleh DAP untuk Muda ketika susah dan senang,” katanya dalam kenyataan.

“Walaupun bukan faktor utama, Syed Saddiq patut sedar bukan sedikit yang telah DAP lakukan hingga Johor melahirkan kerusi tunggal untuk Muda di peringkat DUN dan Parlimen.”

Selain Syed Saddiq, Timbalan Presiden Muda Amira Aisya memegang kerusi DUN Puteri Wangsa di Johor.

Kata Sheikh Umar, dari segi prinsip, Syed Saddiq tidak seharusnya keterlaluan melabel DAP dan Nga sekeras itu.

“Nga sekadar menyuarakan sikap yang wajar diambil oleh Muda bersesuaian dengan posisinya yang mendukung kerajaan perpaduan ketika ini.

“Atas sebab itu, bagi saya, Syed Saddiq tidak sepatutnya tergamak melemparkan tohmahan sedemikian rupa pada DAP,” katanya.

Semalam, Syed Saddiq menggelar DAP “lapdog” Zahid, selepas Nga menyarankan beliau bersemuka dengan pimpinan kerajaan perpaduan berhubung keputusan mahkamah melepaskan tanpa bebas presiden Umno itu.

Presiden Muda itu malah menggelar DAP “hipokrit”, “gila kuasa”, dan “tiada prinsip” di media sosial.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.