Cadangan asing kuasa peguam negara, pendakwa raya dipersetujui, kata PM

Cadangan asing kuasa peguam negara, pendakwa raya dipersetujui, kata PM

Bagaimanapun Anwar Ibrahim berkata perkara itu tidak boleh dilaksanakan segera selain ia akan menelan kos yang besar.

Anwar Ibrahim berkata usaha merealisasikan cadangan pengasingan kuasa sedang dilakukan kerajaan selain dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan sudah lama membuat keputusan untuk melaksanakan cadangan pengasingan kuasa antara peguam negara dan pendakwa raya, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, katanya perkara itu tidak boleh dilaksanakan segera selain ia akan menelan kos yang besar.

“Beberapa bulan lepas, ada kertas kerja dibentangkan untuk memastikan Kabinet bersetuju dengan dasar pengasingan kuasa ini. Kami juga telah merujuknya kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, dan ia akan menelan belanja yang banyak (tetapi) berbaloi (sebab) jika ia perlu dilakukan, ia akan dilakukan.

“Namun, tolong jangan katakan cadangan itu belum diputuskan, kerajaan ini telah membuat keputusan. Cuma, perkara itu tidak boleh dilaksana cepat dalam beberapa minggu dan ia perlu mendapat sokongan majoriti dua pertiga (di Dewan Rakyat) untuk pembaharuan ini,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika ditanya mengenai desakan beberapa pihak supaya pengasingan kuasa antara peguam negara dan pendakwa raya dilakukan segera.

Antara pihak tersebut termasuk kumpulan pemantau pilihan raya, Bersih 2.0 yang menggesa Putrajaya melaksanakan pengasingan kuasa itu walaupun tanpa majoriti dua pertiga di Parlimen.

Katanya, cadangan itu akan menamatkan “pendakwaan terpilih dan kekebalan” serta ahli politik yang melakukan kesalahan tidak boleh terlepas daripada hukuman, jika mereka pilih untuk menyertai kerajaan.

Desakan itu semakin kedengaran selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) menghentikan pendakwaan terhadap Presiden Umno Zahid Hamidi.

Mahkamah pada 4 Sept lalu melepas tanpa membebaskan Zahid daripada 47 tuduhan rasuah, pecah amanah, dan pengubahan wang membabitkan dana Yayasan Akalbudi; selepas timbalan pendakwa raya memaklumkan AGC ingin memberhentikan semua prosiding terhadap beliau pada peringkat itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.