
Ketua Polis Kuala Lumpur Allaudeen Abdul Majid berkata siasatan awal mendapati mangsa berusia 26 tahun itu dilarikan sekumpulan lelaki dipercayai rakannya di kawasan projek perumahan rakyat (PPR) Kampung Muhibbah pada malam Ahad lalu.
Katanya, bapa mangsa membuat laporan di Balai Polis Bukit Jalil pada 5 pagi Isnin lalu, selepas dimaklumkan teman wanita anaknya.
“Mangsa seorang penganggur ditemui mati dalam Proton Gen2 sekitar 12.50 tengah malam Rabu berhampiran sebuah stesen minyak,” katanya menurut Sinar Harian.
Beliau berkata, bedah siasat dijalankan Hospital Serdang mendapati mangsa patah rahang dan tulang rusuk, selain tengkoraknya retak.
Katanya, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) IPD Cheras kemudian menahan empat lelaki berusia 27 hingga 35 tahun di sekitar Lembah Klang yang disyaki melarikan mangsa.
Menurutnya, siasatan awal mendapati motif kejadian dipercayai dendam kerana mangsa melarikan barang milik suspek utama.
“Setakat ini, polis masih memburu dua lelaki, termasuk suspek utama berusia 40-an yang juga warga asing,” katanya sambil menambah semua empat suspek mempunyai rekod lampau bersabit kes jenayah narkotik dan turut diuji positif dadah semasa ditahan.
Katanya, polis Kuala Lumpur menjalankan siasatan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan atas kesalahan melarikan orang, manakala siasatan polis Selangor mengikut Seksyen 302 kanun sama atas kesalahan membunuh.