Kes dera di Cheras, polis terima 3 lagi laporan

Kes dera di Cheras, polis terima 3 lagi laporan

Ketua Polis Kuala Lumpur Allaudeen Abdul Majid berkata sebelum ini pihaknya menerima satu laporan oleh bapa mangsa.

Menurut polis, setakat ini empat laporan telah diterima membabitkan kes dera di sebuah pusat jagaan di Bandar Sri Permaisuri, Cheras.
PETALING JAYA:
Tiga lagi laporan polis diterima daripada ibu bapa berhubung kes dera di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Bandar Sri Permaisuri, Cheras.

Ketua Polis Kuala Lumpur Allaudeen Abdul Majid berkata sebelum ini pihaknya menerima satu laporan polis dibuat oleh bapa yang mendakwa anak perempuannya berusia dua tahun didera di pusat jagaan terbabit pada Isnin lalu.

“Susulan laporan pertama itu, ada ibu bapa yang terkesan dan tampil membuat laporan…setakat ini keseluruhan kita menerima empat laporan membabitkan empat kanak-kanak dalam kes dera di pusat jagaan itu.

“Kecederaan membabitkan kanak-kanak itu masih dalam proses pemeriksaan dan kita menunggu laporan daripada pihak hospital,” katanya menurut Harian Metro.

Allaudeen berkata pihaknya sudah mengambil keterangan daripada ibu bapa terbabit termasuk seorang wanita yang ditahan Isnin lalu selepas disyaki mendera kanak-kanak perempuan di pusat jagaan itu.

Menurutnya, siasatan hampir selesai dan kertas siasatan akan diserahkan kepada timbalan pendakwa raya dalam masa terdekat bagi tindakan selanjutnya.

Terdahulu, tular dua klip video di Facebook yang menunjukkan seorang wanita mencederakan kanak-kanak perempuan dua tahun di sebuah pusat jagaan kanak-kanak.

Media kelmarin melaporkan, seorang pengasuh ditahan kerana disyaki mendera seorang kanak-kanak di sebuah pusat jagaan di Bandar Sri Permaisuri, Cheras.

Ketua Polis Cheras Zam Halim Jamaluddin dipetik sebagai berkata, bapa mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.