Kerajaan jamin beras tempatan tak naik harga

Kerajaan jamin beras tempatan tak naik harga

Berhubung dakwaan penukaran kampit beras tempatan kepada beras import, menteri meminta pihak terbabit mengemukakan bukti dan aduan rasmi.

Mohamad Sabu berkata, harga beras tempatan kekal RM26 sekampit atau RM2.60 sekilogram.
PETALING JAYA:
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi jaminan tiada kenaikan harga bagi beras tempatan.

Menterinya Mohamad Sabu berkata harga beras import pula bergantung kepada pasaran.

“Yang penting, harga beras tempatan tidak naik, kekal dengan RM26 sekampit atau RM2.60 sekilogram,” katanya menurut Harian Metro selepas sesi dialog Belanjawan 2024 KPKM bersama pemain industri di bawah subsektor padi dan beras di Serdang.

Berhubung dakwaan penukaran kampit beras tempatan kepada beras import, Mohamad berkata: “Kalau ada, sila bawa bukti, aduan rasmi.”

Mengenai sesi dialog itu, katanya, rata-rata pemain industri dan pihak berkepentingan membangkitkan isu subsidi dan pengairan padi kurang sempurna.

“Maka, mereka menuntut kalau nak naikkan hasil padi, pengairan mesti sempurna serta kerajaan kena mengawal terutama harga racun, harga baja dan sebagainya untuk mereka mengeluarkan ‘output’ lebih baik pada masa akan datang.”

Sementara itu, Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras, Azman Mahmood mengakui ada kenaikan harga beras import di pasaran.

Katanya, ia susulan langkah Padiberas Nasional Bhd (Bernas) menyelaras harga jualan beras putih import kepada RM3,200 per tan metrik mulai 1 Sept lalu, selain pasaran dunia turut menyaksikan kenaikan harga beras import.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.