
Pemangku Ketua Polis Gombak, Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata laporan diterima kira-kira 4.30 pagi dan siasatan mendapati nahas itu dipercayai berlaku ketika mangsa lelaki berusia 26 tahun memandu Honda City bersama isterinya dari arah Bandar Country Homes menghala Rawang.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh lori dipandu lelaki berusia 25 tahun yang datang dari arah Rawang menghala Bandar Country Homes.
“Akibat kemalangan itu, kedua-dua kenderaan terbakar. Mangsa dan isterinya berusia 23 tahun tidak dapat diselamatkan dan terbakar,” katanya menurut Utusan Malaysia.
Beliau berkata, pemandu lori berjaya menyelamatkan diri dan tidak cedera, manakala pasangan suami isteri yang meninggal dunia di lokasi kemalangan dibawa ke forensik Hospital Selayang untuk dibedah siasat.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat diminta membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat trafik Mohamad Suhaimi Tukiman 013-7557556 atau IPD Gombak 03-61262222.