
Charles Santiago dari DAP, berkata bank pusat perlu menjawab persoalan yang rumit berhubung tindakan terhadap firma e-dagang itu yang menerima deposit orang awam tanpa lesen dan terlibat dalam aktiviti pengambilan deposit haram.
Menurut BNM, aktiviti syarikat tersebut antara Jun 2018 dan September 2021, melanggar Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA) dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla).
Bekas Ahli Parlimen Klang itu, menyeru BNM memaparkan kebertanggungjawapan dalam perkara ini. Beliau berkata, bank pusat perlu mendedahkan bila pertama kali kesalahan itu dikesan dan tempoh diambil untuk menanganinya.
“Juga, berapa ramai penyimpan yang ada? Siapakah individu yang mendepositkan wang dengan i-Serve? Berapa banyak wang (dalam deposit) yang diterima i-Serve dalam tempoh tiga tahun itu,” kata Santiago.
Beliau berkata, walaupun i-Serve dan syarikat berkaitannya membayar denda RM50 juta pada 16 Nov 2022, perkara itu belum lagi selesai.
“Denda ini kecil jika dibandingkan dengan aset yang dirampas. Apa yang terjadi kepada baki? Adakah wang penyimpan dikembalikan?”
Santiago juga menggesa BNM untuk menjelaskan kenapa tiada dakwaan jenayah dikenakan.
“Kita bercakap tentang pelanggaran FSA dan Amla. Ini melangkaui isu prosedur,” katanya.
Santiago juga mempersoalkan adakah pihak berkuasa telah mengenalpasti sama ada wang didepositkan dengan i-Serve datang daripada sumber sah atau tidak.
“Adakah semua penyimpan membayar cukai pendapatan atas semua wang yang mereka depositkan di i-Serve? Adakah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah menyiasat setiap penyimpan untuk menentukan sama ada wang mereka datang dari sumber yang sah? Bolehkah LHDN mengesahkan jika wang penyimpan itu datang dari Malaysia atau luar negara?”
Santiago berkata, pihak berkuasa perlu menyiasat setiap penyimpan atas kemungkinan cuba mengelak cukai.
“Saya berharap BNM dapat memberikan jawapan kepada beberapa soalan penting ini. Saya rasa sangat penting untuk BNM menjelaskan adakah siasatan mereka ke atas i-Serve melebihi aspek pengambilan deposit.”
Pada November 2021, BNM dan beberapa agensi kerajaan dilaporkan menyerbu premis i-Serve dan syarikat berkaitannya dalam siasatan kes pengubahan wang haram dan kesalahan kewangan lain.
BNM berkata, hasil dokumen dirampas dari 22 lokasi di Kuala Lumpur dan Selangor membawa pembekuan 45 akaun di tujuh bank dan rampasan RM119 juta.