Zahid lepas: Muda tak puas hati penjelasan AGC

Zahid lepas: Muda tak puas hati penjelasan AGC

Muda bertegas mahkamah memberi perintah seperti permohonan yang dibuat oleh pihak pendakwaan.

Muda mahu Jabatan Peguam Negara bertanggungjawab bukan menuding jari kepada mahkamah berkait keputusan melepas tanpa membebaskan Zahid Hamidi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Muda tidak berpuas hati dengan penjelasan Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung keputusan untuk tidak meneruskan pertuduhan terhadap Presiden Umno Zahid Hamidi.

Dalam kenyataan oleh Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat Nurainie Haziqah Shafi’i, parti itu bertegas mahkamah memberi perintah seperti permohonan yang dibuat oleh pihak pendakwaan.

Semalam, AGC memaklumkan bahawa mahkamah menerima alasan pihak pendakwaan, dan hakim menyatakan alasan yang dikemukakan “cogent” (meyakinkan).

Nurainie Haziqah Shafi’i.

Muda bagaimanapun mahu AGC mengambil tanggungjawab penuh terhadap kenyataannya, “dan bukan seolah-olah menuding jari kepada mahkamah kerana membenarkan keputusan yang dipohon oleh pihak pendakwaan.”

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan Zahid daripada 47 tuduhan rasuah, pecah amanah, dan pengubahan wang membabitkan dana Yayasan Akalbudi; selepas timbalan pendakwa raya memaklumkan AGC ingin memberhentikan semua prosiding terhadap beliau pada peringkat itu.

Hakim Collin Lawrence Sequerah dalam keputusannya memaklumkan pihak pendakwaan memberikan beberapa alasan termasuk keperluan menyiasat tuduhan dengan lebih lanjut dan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kandungan buku oleh bekas peguam negara, Tommy Thomas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.