Rangka manusia dalam longkang, polis tunggu keputusan DNA

Rangka manusia dalam longkang, polis tunggu keputusan DNA

Polis berkata, bedah siasat telah dilakukan, namun masih dalam proses mengesahkan punca kematian serta klasifikasi kes.

Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan berkata identiti mayat itu sama ada ia lelaki tempatan dilaporkan hilang dua bulan lalu akan diketahui melalui keputusan DNA dalam dua minggu lagi. (Gambar Bernama)
SEPANG:
Polis dalam proses mengenal pasti sama ada rangka manusia ditemui dalam longkang di depan sebuah sekolah di Jalan Kebun, Klang pada 27 Ogos lepas ada kaitan kehilangan seorang lelaki tempatan dua bulan lalu.

Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan berkata identiti mayat itu sama ada ia mangsa hilang akan diketahui melalui keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dalam tempoh dua minggu lagi.

“Polis mengenal pasti satu kes seorang lelaki tempatan dilaporkan hilang dengan anggaran usia sama dengan mayat berkenaan…sama ada mayat itu adalah mangsa hilang atau sebaliknya, kita perlu tunggu keputusan DNA,” katanya selepas menghadiri Majlis Pelupusan Barang Kes IPD Sepang.

Tular di media sosial baru-baru ini penemuan mayat hanya tinggal tulang dan tengkorak tersangkut pada batang paip dalam longkang depan sekolah di Jalan Kebun.

Beliau berkata, bedah siasat telah dilakukan, namun masih dalam proses mengesahkan punca kematian serta klasifikasi kes sama ada ia melibatkan jenayah atau mati mengejut.

Kes khalwat

Hussein berkata seorang anggota polis di IPD Sepang yang didakwa terbabit dalam kes khalwat akan dikenakan tindakan disiplin.

Katanya, polis membuka dua kertas siasatan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia melalui laporan dibuat anggota itu sendiri yang mendakwa beliau difitnah individu lain.

Pada 25 Ogos lalu, tular video berkaitan dakwaan salah laku anggota polis ditangkap khalwat oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di sebuah kondominium.

Terdahulu, Hussien menyaksikan proses pelupusan barang kes membabitkan 80 mesin bitcoin, pelbagai jenama rokok dan minuman keras yang dirampas sejak 2019 hingga Mac lalu bernilai RM216,318.26.

“Semua barang kes dilupuskan dengan cara musnah melalui e-sisa dan jualan sisa besi dan pepejal setelah mendapat kelulusan mahkamah,” katanya menambah rampasan itu membabitkan lapan kes dengan enam daripadanya diambil tindakan undang-undang dan dua lagi tiada tindakan lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.