PM: Puluhan ribu pekerja Indonesia tanpa dokumen dihantar pulang

PM: Puluhan ribu pekerja Indonesia tanpa dokumen dihantar pulang

Anwar Ibrahim berkata kerajaan menanganinya dengan baik tanpa mendakwa di mahkamah walaupun ia kesalahan serius.

Anwar Ibrahim bercakap kepada orang ramai pada Program Temu Anwar di Jakarta malam tadi. (Gambar Bernama)
JAKARTA:
Puluhan ribu Tenaga Kerja Indonesia (TKI) di Malaysia yang tidak mempunyai dokumen telah dihantar pulang, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata meskipun soal dokumen merupakan hal yang serius, kerajaan Malaysia tetap menanganinya dengan baik, tanpa pendakwaan di mahkamah.

“Kalau yang sudah ditangkap, dikirim (dihantar) pulang, dan kita percepatkan proses itu,” katanya kepada media selepas Program Temu Anwar di sini malam tadi.

Perdana Menteri ditanya media tempatan mengenai proses kemajuan dalam menguruskan masalah TKI di Malaysia, selepas kunjungan Presiden Indonesia Joko Widodo ke Malaysia pada Jun lepas.

Menyentuh mengenai isu Laut China Selatan yang dibincangkan dalam Sidang Kemuncak ASEAN hari ini, Anwar berkata: “Kita ada pendirian dan menegaskan supaya ASEAN ada pendirian yang sama untuk pertahankan hak kita dan berunding dengan baik dengan China.”

Sementara itu, Perdana Menteri berkata Malaysia menyambut baik keputusan pemimpin ASEAN, untuk Filipina menjadi Pengerusi ASEAN pada 2026.

“Tahun depan Laos diikuti Malaysia, kemudian sepatutnya Myanmar, tetapi konsensus tadi oleh kerana belum selesai masalah Myanmar, soal penindasan dan konflik berterusan maka diserahkan kepada Filipina, dan Presiden (Ferdinand) Marcos Jr tadi setuju. Ini satu perkembangan yang sangat positif,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.