
Pengarah Urusan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Dr M Murallitharan berkata, ia ekoran pelbagai faktor, termasuk kekangan untuk mendapatkan saringan dan rawatan di hospital dalam tempoh itu.
Beliau berkata, kebanyakan pesakit ialah penghidap kanser payudara, khususnya wanita, selain kanser usus besar dalam kalangan lelaki dan wanita.
“Sejak penularan Covid-19, kita dapat melihat penjejasan ketara dari aspek pengesanan awal kanser dalam kalangan rakyat di negara ini berbanding sebelum Covid-19.
“Sebagai contoh, kira-kira 90% pesakit kanser yang saya rawati atau jumpa berada di tahap tiga atau empat dan situasi ini amat membimbangkan,” katanya selepas pelancaran klip video lagu “Saya Anak Malaysia” bersama Pemandiri Kanser NCSM di sini.
Turut hadir, Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin dan penulis lirik yang juga penyanyi lagu “Saya Anak Malaysia” Dr Sam Rasputin.
Murallitharan berkata, jumlah pesakit kanser lewat mengesan barah dihidapi mereka dijangka meningkat dalam lima tahun akan datang dan usaha proaktif perlu dilaksanakan bagi memberi akses saringan awal kepada rakyat di pelbagai peringkat, antaranya komuniti dan agensi kerajaan.
Justeru katanya, NCSM giat melaksanakan program saringan awal untuk rakyat, terutama di kawasan pedalaman, selain menganjurkan lebih banyak program kesedaran berkaitan kanser dan saringan awal agar penyakit itu dapat dirawat di peringkat awal.
Beliau berkata, pesakit kanser usus besar juga dilihat agak meningkat sejak kebelakangan ini, terutama melibatkan lelaki seawal usia 40-an berbanding 50-an sebelum ini.
Terdahulu, beliau berkata, klip video lagu “Saya Anak Malaysia” selama 3.48 minit yang dihasilkan dalam tiga minggu itu melibatkan penyertaan lebih 60 sukarelawan dan pemandiri kanser dari Melaka, Kuala Lumpur, Kedah dan Perak.
Katanya, klip video lagu itu dibuat sempena Hari Kebangsaan bagi menyuntik semangat dalam kalangan pemandiri atau pesakit kanser di negara ini untuk bersatu menentang kanser dihidapi mereka.